PBS mahu Warisan kerjasama libatkan GRS, STAR terbuka kerjasama parti tempatan

KOTA KINABALU - Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joachim Gunsalam melihat hasrat Parti Warisan (Warisan) yang hanya berminat kepada PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu adalah sebagai usaha untuk memecahbelahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau menegaskan jika Warisan ingin memulakan kerjasama ia sepatutnya dibuat secara menyeluruh bersama GRS dan bukan hanya memilih parti tertentu.

"Kalau dia mahu bersama-sama PBS dan STAR, saya ingat lebih baik kita bekerjasama dengan kumpulan GRS ini, sebab dia pilih dua parti sahaja, bagi kami seolah-olah memecahbelahkan GRS.

"Kami sudah bersama GRS dan kami sangat komited dengan GRS sehingga bila-bila walaupun kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa depan," katanya ketika ditemui pemberita pada program tinjauan mesra sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Tamu Gaya, Jalan Gaya di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pendirian PBS susulan kenyataan Warisan yang hanya berminat mahu bekerjasama dengan PBS dan STAR baru-baru ini.

Ditanya mengenai isu integriti yang terpalit dengan sebuah parti dalam GRS, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berpandangan ia adalah bersifat politik.

**media[2964375]**

"Kita semua tahu bahawa dalam politik kita bergantung kepada sumbangan. Sumbangan politik boleh diterima malah negara lain juga bergantung sepenuhnya dengan sumbangan dana politik, namun mungkin diterima secara berbeza.

"Bagi saya, mereka tidak boleh mengatakan bahawa integriti telah dikompromikan semata-mata kerana menerima sumbangan daripada konglomerat, individu atau syarikat," katanya.

Sementara itu, Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, beliau terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan di negeri ini.

"Kami bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan, jika mahu menggunakan istilah jaga Sabah sebagai 'rumah kita, kita jaga', kita kena konsisten untuk bekerjasama dengan semua.

"Perpaduan adalah tugas, jadi itu saja cara kita perlu bergerak ke hadapan seperti Sarawak," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ketua Biro Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman menyatakan parti itu hanya mahu bekerjasama dengan parti-parti tempatan yang tiada isu integriti seperti PBS dan STAR.