Penganalisis cadang nama KJ

UMNO disarankan untuk melantik bekas Menteri Kesihatan dan mantan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang baharu bagi menggantikan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Cadangan ini timbul selepas kenyataan Jalaluddin yang dilihat seolah-olah mengemis agar kerusi dibahagikan sama rata 18:18 antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH), walhal mereka tidak seharusnya bertindak demikian jika mahu kembali berkuasa di Negeri Sembilan dan berperanan sebagai teras utama dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Menurut penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi, penggantian Jalaluddin dengan Khairy dilihat sebagai langkah strategik yang wajar untuk menyuntik nafas baharu dalam kepimpinan UMNO Negeri Sembilan.

“Khairy juga mempunyai reputasi tersendiri sebagai bekas Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Kabinet, selain seorang pemimpin progresif dan lebih diterima oleh golongan muda serta profesional.

“Imej Khairy yang positif dapat membantu menarik semula sokongan pengundi atas pagar, selain meraih sokongan daripada mereka yang lebih cenderung kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium.

Tambahnya, kredibiliti Jalaluddin mungkin telah terjejas selepas kekalahan besar UMNO dalam PRU15 dan PRN. Oleh itu, pemimpin baharu seperti Khairy boleh membawa pendekatan yang lebih strategik untuk memulihkan keyakinan penyokong.

“Sebagai tokoh politik yang dikenali di peringkat nasional, Khairy mampu menarik perhatian kepada Negeri Sembilan, menjadikan UMNO/BN di negeri ini lebih kompetitif, terutama dalam menarik sokongan generasi muda yang semakin penting dalam pilihan raya,” ujarnya.

Namun, Hussain Yusri mengingatkan bahawa tindakan menggantikan Jalaluddin berisiko mencetuskan ketegangan dalam kalangan ahli dan pemimpin UMNO Negeri Sembilan yang setia kepadanya.

“Walaupun Khairy diterima oleh golongan muda dan moderat, penyokong tegar UMNO tradisional mungkin melihat beliau sebagai terlalu liberal atau tidak cukup berakar umbi, yang berpotensi mengurangkan sokongan daripada kelompok ini,” tambahnya.

Beliau juga menekankan bahawa hubungan Khairy dengan kepimpinan tertinggi UMNO, terutamanya selepas pemecatannya, akan menjadi faktor penentu. Jika hubungan tersebut masih tegang, pelantikan Khairy mungkin tidak mendapat sokongan penuh di peringkat pusat.

Hussain Yusri berkata, pelantikan Khairy sebagai Pengerusi BN Negeri Sembilan boleh menjadi peluang untuk memperkukuh semula UMNO, asalkan dilakukan dengan strategi yang berhati-hati.

“Namun ia memerlukan pendekatan yang cermat untuk mengelakkan perpecahan dalaman dan memastikan Khairy mendapat sokongan sepenuhnya daripada akar umbi serta pimpinan pusat. Keputusan ini juga harus mengambil kira penerimaan masyarakat setempat terhadap kepimpinan baharu,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berpendapat bahawa pelantikan Khairy sebagai Ketua Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan bukanlah sesuatu yang mudah, memandangkan beliau kini berada di luar parti.

“Khairy kini berada di luar UMNO, jadi perjalanannya untuk kembali ke dalam parti dan seterusnya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan masih jauh.

“Pada masa ini keutamaan adalah mencari pemimpin yang mampu menjalinkan hubungan matang dengan parti komponen Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.