ABIM tolak cadangan PRU mengejut

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menolak sebarang cadangan pilihan raya umum secara mengejut (snap election) yang disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab kepada rakyat.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, peningkatan mendadak jumlah kes serta kluster baharu ekoran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini sudah cukup menggambarkan kesan buruk menimpa rakyat yang menyebabkan berlakunya sentimen kebencian rakyat terhadap pemimpin politik.

"ABIM menegaskan dalam situasi rakyat bersama pejuang barisan hadapan yang kini bersusah payah memerangi penularan wabak Covid-19 adalah suatu yang tidak bertanggungjawab untuk diadakan pilihan raya secara mengejut.

"Pada 18 hari dalam bulan Oktober sahaja, peningkatan hampir 50 peratus kes Covid-19 baharu dan mencecah melebihi 20,000 orang terjangkit. Maka, situasi lebih buruk akan berlaku jika pilihan raya umum diadakan di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, sikap berlapang dada pemimpin politik yang enggan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi untuk memberikan calon parti penyandang memenangi kerusi tersebut tanpa bertanding harus dipuji.

Namun katanya, rasa tanggungjawab itu harus diteruskan secara konsisten dengan memastikan tidak ada sebarang pilihan raya mengejut diadakan agar keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa dipertahankan.

"Sepatutnya mana-mana pihak yang menginginkan pilihan raya mengejut ini mengotakan janji mengutamakan rakyat serta tidak menjadikan rakyat sebagai mangsa akibat daripada kegagalan mereka menguruskan urusan politik dengan baik," katanya.