KEMENANGAN Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 pada 6 November lalu membuka satu lagi babak penuh teka-teki dalam landskap geopolitik dunia.
Meskipun Trump bersedia untuk kembali menerajui Rumah Putih, namun banyak negara dunia termasuk Malaysia masih tertanya-tanya apakah perubahan besar dari segi dasar luar dan perdagangan AS di bawah kepimpinannya.
Malah, ramai pemerhati melihat kemenangan Trump kali ini akan memberi kesan mendalam kepada hubungan dua hala dan dagangan antara AS dan China.
Namun, impak kepada negara Asia lain dan Asia Tenggara termasuk Malaysia dijangka tidak besar berbanding rantau lain.
Ini kerana, semasa penggal pertama selaku Presiden AS dari tahun 2017 hingga ke 2021, Trump memperkenalkan dasar America First yang mencetuskan ketegangan dalam perdagangan global.
Dasar America First yang terkenal itu mengutamakan kepentingan ekonomi AS melalui tindakan seperti mengenakan tarif tinggi terhadap produk import terutama dari China sekali gus memberi kesan negatif kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia.
**media[2893496]**
Justeru, dengan Trump kini kembali berkuasa, timbul persoalan sama ada beliau akan meneruskan dasar luar dan perdagangan yang agresif seperti sebelum ini.
Ini kerana semasa kempennya, Trump mengemukakan cadangan untuk mengenakan tarif 60 peratus terhadap produk dari China dan tarif antara 10-20 peratus terhadap barangan dari negara lain.
Jadi tidak hairanlah jika mantan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Datuk Muhamad Noor Yacob meramalkan era baharu pentadbiran Trump akan menyaksikan berlakunya ketegangan lebih besar dalam perang dagangan antara AS dan China.
Bekas Pengarah Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) itu berkata, cadangan Trump untuk mengenakan tarif tinggi kepada produk diimport dari China juga dijangka memberi kesan kepada ekonomi Malaysia kerana kedua-dua negara adalah rakan dagangan terbesar negara ini.
“Jika Trump melaksanakan cadangan berkenaan, maka tidak mustahil negara lain mungkin akan terpaksa bertindak balas dengan menaikkan tarif ke atas barang import.
“Justeru, saya bimbang kesan kenaikan tarif berkenaan secara keseluruhannya akan menyebabkan aliran perdagangan dunia menjadi perlahan sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada Sinar Premium.
Namun, Muhamad Noor yakin Malaysia masih boleh mengatasi tekanan ini jika berjaya mengembangkan pasaran eksport ke negara-negara baharu seperti anggota blok BRICS.
Dengan mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi dunia dan menyumbang 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, BRICS menawarkan peluang baharu yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia dalam menghadapi tekanan perdagangan dari AS dan China.
Hukum China
Sementara itu, pakar geostrategis dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan pula meramalkan bahawa ketegangan perdagangan antara AS dan China akan memuncak lebih tinggi di bawah kepimpinan Trump.
Malah, Trump pernah mengeluarkan amaran untuk menghukum China dengan tidak membenarkan syarikat dari negara Uncle Sam berkenaan melabur di negara tembok besar itu.
Berikutan itu, Azmi menegaskan cadangan AS mahu mengenakan tarif 60 peratus ke atas barangan import dari China juga akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan hubungan perdagangan dua halanya dengan Beijing pada masa depan.
“Jika cadangan itu diteruskan, maka impaknya terhadap ekonomi dan hubungan perdagangan dua hala antara negara di dunia amat ketara.
“Malaysia juga perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan kenaikan harga barang import jika Trump meneruskan hasratnya untuk mengenakan tarif 60 peratus ke atas produk import dari China dan 10 hingga 20 peratus kepada barangan dari negara lain.
**media[2893495]**
“Bagaimanapun, saya melihat kita masih boleh menyerap beban kenaikan harga barang antara 10 hingga 20 peratus daripada kadar sedia ada sekarang seperti kadar tarif 60 peratus kadar dikenakan kepada produk diimport dari China ke AS,” katanya.
Namun, Azmi menegaskan jika Trump benar-benar mengenakan tarif 60 peratus ke atas produk dari China maka pertubuhan ekonomi global dan China secara spesifik akan menjadi semakin perlahan pada tahun depan.
Katanya, kelembapan ekonomi juga akan menjejaskan hubungan dagangan Malaysia dan China selaku rakan dagang terbesar negara buat masa ini.
“Jadi saya meramalkan Malaysia lebih merasai impak negatif jika AS meneruskan cadangan untuk menaikkan tarif import ke atas produk dari China hingga 60 peratus berbanding tarif hingga 20 peratus dikenakan kepada produk Malaysia yang bakal diimport ke negara Uncle Sam terbabit,” katanya.