SHAH ALAM - Krisis dalaman Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysi (Bersatu) menjadi antara penyebab Perikatan Nasional (PN) kalah teruk dengan majoriti lebih 20,000 kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor pada Sabtu.
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, perkara itu terbukti apabila pemimpin Pas dilihat kurang ghairah untuk turun padang membantu kempen calon PN pada PRK kali ini.
Malah, difahamkan tidak ramai jentera dan pemimpin Pas dari seluruh negara yang berkampung dan menyertai kempen dari rumah ke rumah untuk membantu calon PN seperti berlaku dalam PRK DUN Nenggiri dan PRK Sungai Bakap sebelum ini.
**media[2827252]**
Beliau berkata, keadaan itu bertambah parah apabila pucuk pemimpin Bersatu sendiri dilihat tidak memberi komitmen 100 peratus untuk membantu kempen dan memenangkan calon PN pada PRK tersebut.
Justeru, saya melihat ada sesuatu tidak kena yang perlu diberi perhatian oleh kepimpinan tertinggi Bersatu berkaitan hubungan dalaman antara kumpulan kepimpinan parti tersebut.
“Ini kerana sepanjang kempen, hanya kumpulan diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Pengarah Pilihan Raya PN bagi DUN Mahkota) yang dilihat bekerja keras untuk memastikan kemenangan milik PN, manakala team lain memang kurang memberikan komitmen kecuali team Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium.
Mohd Yusri berkata demikian ketika mengulas mengenai punca utama calon PN, Mohamad Haizan Jaafar tewas dengan majoriti 20,648 undi kepada wakil BN, Syed Hussien Syed Abdullah dalam PRK DUN Mahkota yang diadakan pada Sabtu.
UNDI CINA MEMUASKAN
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, kekalahan PN juga disumbangkan oleh faktor peratusan keluar mengundi adalah rendah bagi semua etnik pengundi, termasuk pengundi Melayu.
Sebagai contoh, ujarnya daripada 10 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dikategorikan sebagai kawasan majoriti Melayu, hanya tiga PDM yang mempunyai kadar keluar melebihi 60 peratus, selebihnya hanya sekitar 50 peratus, manakala satu PDM mencatatkan hanya 44 peratus keluar mengundi.
“Berbanding sikap dingin yang awalnya dipamerkan oleh pengundi etnik Cina, kadar keluar mengundi pengundi Cina secara relatifnya sangat memuaskan berbanding kebimbangan awal.
“Sebagai contoh, daripada lapan PDM yang dikategorikan sebagai PDM majoriti Cina, empat PDM menunjukkan kadar keluar mengundi menghampiri 50 peratus, bahkan ada satu PDM mencatatkan keluar mengundi sebanyak 54 peratus.
Hanya satu PDM agak rendah iaitu 41 peratus,” katanya.
Ujarnya, strategi saat-saat akhir khususnya oleh Pakatan Harapan (PH)-BN untuk memujuk pengundi Cina keluar boleh ditafsirkan sebagai berjaya, sumbangan oleh segmen ini banyak membantu kemenangan dengan majoriti sangat besar BN tersebut.
Mohd Yusri berkata, kerjasama BN-PH dalam PRK ini membuah hasil berlipat ganda dan sebagai contoh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 sewaktu pengundian Parlimen Kluang, BN hanya mengumpul 14,834 atau 30 peratus undi daripada 77 peratus pengundi Mahkota yang keluar.
Sebelum itu dalam PRN pada Mac 2022, BN hanya mengumpul 16,611 atau 45 peratus daripada keseluruhan 57 peratus yang keluar mengundi.
“Pertama kali bekerjasama dalam PRK Mahkota ini, BN-PH berjaya menggandakan jumlah undi kepada 27,995 atau 78.4 peratus undi daripada keseluruhan 54 peratus yang keluar mengundi.
Peningkatan besar bilangan dan peratusan undi yang dikumpul oleh BN ini adalah hasil kerjasama PH-BN dalam PRK ini.
“PN pula mengalami defisit undi sangat ketara apabila hanya sekadar mengumpul 7,347 atau 20.6 peratus undi dalam PRK ini berbanding dalam PRU15 November 2022 PN mengumpul 14,794 atau 30 peratus undi, manakala dalam PRN Mac 2022 PN mengumpul 7,614 atau 20 peratus undi.
“Pengurangan ketara undi PN ini khususnya berbanding PRU15 tersebut hanya ada dua kemungkinan iaitu sama ada pengundi PN sedia ada tidak keluar mengundi, atau mereka keluar tetapi bertukar mengundi BN,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, kekalahan ketiga Bersatu dalam PRK akan menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa pengaruh UMNO kini semakin pulih dalam kalangan pengundi khususnya orang Melayu sekali gus memperkukuhkan kerjasama antara PH dan BN menjelang PRU16 nanti.
Beliau berkata, kemenangan BN juga mengesahkan memang wujud keretakan hubungan Pas dan Bersatu akibat tindakan Pas merampas kerusi DUN Nenggiri dengan meletakkan bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Rizwadi Ismail sebagai calon hibrid PN dalam PRK berkenaan.