PROSES pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baru menjangkau usia lapan tahun penubuhannya, sepatutnya diadakan pada tahun 2023.
Namun Bersatu memutuskan untuk menangguhkannya selama 18 bulan disebabkan parti itu mahu memberi fokus kepada gerak kerja pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri pada tahun lepas.
Di saat kejayaan Bersatu mencatatkan prestasi memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila memenangi 31 kerusi Parlimen dan 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama Perikatan Nasional (PN), timbul teka-teki status kedudukan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada akan terus kekal menjadi teraju utama.
**media[2678267]**
Bagaimanapun, perwakilan Bersatu pada mesyuarat agung Bersatu tahun lalu bersetuju sebulat suara untuk memastikan Pengerusi PN itu kekal memegang jawatan Presiden bagi tempoh sepenggal lagi.
Tidak lama selepas itu, spekulasi terkini berkaitan pemilihan parti tersebut yang dijangka diadakan September ini sudah ada kedengaran ada pihak bercita-cita untuk mengambil alih jawatan utama Bersatu daripada tangan Muhyiddin.
Terdapat kem pemimpin tertentu didakwa cuba mengambil kesempatan daripada proses pemilihan Bersatu untuk memposisikan diri sebagai Presiden, sekali gus meningkatkan potensi terpilih sebagai calon Perdana Menteri mewakili PN pada PRU16.
Ura-ura Muhyiddin berpotensi dicabar semakin jelas kelihatan apabila bertambah ramai pemimpin Bersatu mempersoalkan ketelusan proses pemilihan dan ketetapan klausa dalam perlembagaan parti yang menetapkan syarat kelayakan pertandingan jawatan Top 5.
Sebagai contoh, ada mempertikaikan Fasal 13.7 Perlembagaan Bersatu, di mana klausa itu menetapkan calon-calon yang ingin bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden hendaklah memegang mana-mana jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) atau ketua Bersatu bahagian untuk tempoh lengkap dua penggal.
Memandangkan usia penubuhan Bersatu baru mencecah tempoh tiga penggal, hakikatnya tidak ramai pemimpin Bersatu yang benar-benar melepasi syarat kelayakan ditetapkan.
Atas faktor itu, ada segelintir pihak mendakwa pemilihan Bersatu bersifat tertutup, jumud, tidak terbuka dan kuku besi disebabkan parti itu kononnya tidak memberi ruang kepada pemimpin baharu berpotensi untuk bertanding jawatan tertinggi.
DEMOKRATIK
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memperbetulkan tanggapan berkenaan dan menegaskan proses pemilihan parti itu sangat demokratik.
**media[2678266]**
“Kelompok ini menyalah tafsir Fasal 13.6, Fasal 13.7 dan Fasal 13.8 perlembagaan Bersatu dengan tidak membacanya bersekali dengan Fasal 14.14.
“Fasal 14.14 jelas menyatakan jawatankuasa MPT berkuasa untuk mengetepikan syarat kelayakan bertanding pemilihan di bawah Fasal 13.6, Fasal 13.7 dan Fasal 13.8 dalam memberi kelonggaran kepada mana-mana calon yang bertanding bagi jawatan Top 5, ketua bahagian dan ketua sayap parti.
“Jadi mana-mana pemimpin yang tidak memenuhi syarat kelayakan bertanding di bawah Fasal 13.6, Fasal 13.7 dan Fasal 13.8 perlembagaan parti, mereka sebenarnya boleh mengemukakan permohonan bertulis kepada MPT untuk mendapatkan kelonggaran bertanding,” kata bekas Menteri Besar Perak itu kepada Sinar Premium pada Rabu.
Ahmad Faizal turut menolak pandangan hanya enam wakil rakyat Bersatu sahaja yang melepasi syarat kelayakan bertanding jawatan Top 5, sekiranya syarat terkandung dalam Fasal 13.7 perlembagaan parti tidak ditafsir bersekali Fasal 14.14.
Katanya, ramai wakil rakyat terdiri Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu telah dikenal pasti memenuhi syarat memegang jawatan MPT dan Ketua Bahagian bagi dua penggal penuh.
“Jumlah layak bertanding itu pun akan bertambah sekiranya terdapat mana-mana wakil rakyat berkenaan yang sebelum ini dianggap tidak memenuhi syarat kelayakan asas, mengemukakan permohonan bertulis kepada MPT dan kemudiannya diberi kelonggaran bertanding.
“Cuma MPT perlulah mengadakan tapisan awal bagi menentukan merit, sumbangan atau potensi sumbangan calon berkenaan sebelum dibenarkan bertanding jawatan Top 5,” katanya.
IMEJ PARTI
Menurut Ahmad Faizal, tujuan diletakkan syarat kelayakan bertanding pemilihan adalah bagi mengelakkan kebanjiran ahli-ahli yang menawarkan diri bagi jawatan-jawatan penting selain beberapa perkara lain yang boleh menjejaskan imej parti sekiranya pemilihan tidak diambil serius.
“Kita tidak benarkan mereka yang baru sehari dua menjadi ahli, belum mengenali atau dikenali untuk bertanding,” ujar beliau.
Menjawab kegusaran wakil rakyat Bersatu mungkin tidak diberi kelonggaran bertanding jawatan penting, Ahmad Faizal sekali lagi menjelaskan parti tiada halangan dalam memberi ruang kepada mana-mana pemimpin untuk memegang jawatan utama.
Bagaimanapun, mantan Menteri Belia dan Sukan itu memberitahu status wakil rakyat bukan tiket untuk mana-mana pemimpin Bersatu dijanjikan jawatan parti.
**media[2678264]**
“Setiap ahli ada peranan masing-masing. Ada ketika, ketua bahagian atau ketua sayap memberi laluan kepada ahli biasa menjadi calon pilihan raya.
“Apabila berjaya, wakil rakyat dan pemimpin Bahagian mesti berganding bahu, bekerjasama memberi perkhidmatan kepada rakyat. Bukannya bersaing sesama sendiri.
“Apa pun, mereka mempunyai hak bertanding mengikut perlembagaan parti. Boleh tawarkan diri asalkan setiap tindakan itu adalah demi kekuatan parti dan bukannya kepentingan peribadi,” katanya.
Ahmad Faizal juga berkeyakinan semua pemimpin Bersatu akan menghormati usul perwakilan Bersatu pada AGM tahun lalu untuk tidak mencabar pencalonan Muhyiddin dikekalkan sebagai Presiden parti bagi tempoh sepenggal lagi.
“Saya bersyukur semua pemimpin tertinggi telah menyatakan sokongan kepada Presiden malah hanya akan bertanding dengan restu Presiden.
“Amat tidak wajar bagi mana-mana pemimpin yang kononnya menangisi dan menolak keputusan awal Muhyiddin untuk berundur sebelum ini, akhirnya bertindak mencabar beliau untuk jawatan nombor satu parti atau bertindak tanpa restu Presiden.
“Saya fikir jika ada pemimpin yang menunjukkan sikap bermuka-muka sebegini, ahli-ahli Bersatu perlu menolak mereka kerana kelompok ini dibimbangi menjadi petualang parti,” katanya.
KELAYAKAN
Sementara itu, Ahli MPT, Mohd Rafiq Mohd Abdullah mendedahkan, lebih 20 wakil rakyat Bersatu dikenal pasti layak bertanding jawatan Top 5 berdasarkan syarat kelayakan mesti menjadi anggota MPT atau Ketua Bahagian selama dua penggal penuh.
**media[2678265]**
Jelasnya, antara Ketua Bahagian yang memenuhi syarat bertanding Top 5 termasuklah Ahli Parlimen Lumut, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail; Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan; ADUN Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad; ADUN Morib, Rosmizan Ahmad; ADUN Bayu, Mohd Taufiq Yaacob dan beliau sendiri selaku ADUN Kuang.
“Bagi mereka yang tidak memenuhi syarat kelayakan, boleh sahaja mereka kemukakan permohonan bertulis kepada MPT dengan badan tertinggi parti itu akan membuat keputusan berdasarkan budi bicara. Jadi, mengapa isu ini hendak dipolitikkan pihak tertentu?” soalnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!