SHAH ALAM - Undi Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) masih lagi memihak kepada Perikatan Nasional (PN) terutamanya melibatkan saluran generasi pengundi muda.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisomuddin Bakar berkata, berdasarkan pengiraan undi PRK tersebut, trend pengundian kumpulan itu tidak jauh beza berbanding keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang lepas.
Ujarnya, ia menunjukkan bahawa segmen pengundi muda Melayu tidak terkesan dengan sebarang usaha memujuk yang dilakukan oleh kempen Pakatan Harapan (PH).
“Setakat yang saya tahu, saya tidak nampak dalam kempen PRK ini usaha itu dilakukan dengan agresif oleh pihak PH, jadi secara mudahnya anak muda Melayu masih lagi mengekalkan trend sama menyokong PN.
“Walaupun PN tidak berbuat apa-apa pun terhadap undi anak muda. Sama sahaja kedua-dua belah pihak, masing-masing tidak ada sebarang tawaran istimewa pun terhadap anak muda tetapi oleh kerana kecenderungan mengundi itu berkekalan daripada trend PRN membawa kepada PRK kali ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Muhamad Hisomuddin, keputusan PRK KKB pada Sabtu memperlihatkan kadar peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam kalangan pengundi Melayu iaitu sekitar 77 peratus.
Katanya, ia diikuti kadar keluar mengundi pengundi Cina dengan anggaran 70 peratus dan India dengan lebih 60 peratus.
“Angka pengundi Melayu itu dikira tinggi untuk PRK kerana kadar ketika PRN yang lepas adalah 79 peratus.
“Secara umum apa yang terjadi dengan keputusan PRK itu ialah pola pengundian sebenarnya tidak jauh beza dengan pilihan raya umum (PRU) dan PRN tahun 2023 yang lalu.
“Cuma bezanya ialah sedikit penurunan peratusan keluar undi melibatkan keseluruhan kaum yang dahulunya ialah 69.25 peratus (PRN) dan sekarang ini 61.5 peratus, maksudnya ia lebih kurang berbanding angka dicatat pada PRN negeri yang lepas,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, tindakan pengundi tegar UMNO dalam PRK KKB yang setia kepada arahan parti dilihat berjaya mendorong kepada kemenangan Kerajaan Perpaduan sekali gus dikekalkan sokongannya.
Tambahnya, berbanding PRK KKB dan PRN Selangor, hanya berlaku penurunan undi sekitar tujuh peratus dan penurunan dalam julat itu adalah normal dalam mana-mana PRK.
“Dengan trend tiga pilihan raya iaitu PRU14, PRU15 atau PRN Selangor sehingga PRK KKB, menunjukkan motivasi pengundi tempatan untuk terlibat dalam proses pilihan raya adalah konsisten.
“Pada umumnya boleh menunjukkan bahawa kadar keluar mengundi bagi setiap etnik adalah hampir seimbang,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!