HULU SELANGOR - Perikatan Nasional (PN) tidak pernah membincangkan calon Perdana Menteri selain mengekalkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, gabungan itu tidak berganjak dengan pendirian berkenaan kerana yakin pimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu adalah yang terbaik untuk rakyat.
“Sekarang kita masih mendengar laungan‘Abah’ sebab watak Tan Sri (Muhyiddin) sebagai ketua dalam satu keluarga, sebuah negara yang menjaga kepimpinan.
“Mereka menyaksikan kepimpinan beliau dan mendapat manfaat daripadanya. Saya yakin insya-ALLAH, kita teruskan kerja yang baik, jujur dan ikhlas kepada rakyat serta buat sedaya upaya untuk memberi kemenangan kepada PN kelak,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
**media[2645243]**
Sebelum ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilapor membuat persediaan dua tahun lebih awal bagi menghadapi PRU16 dengan mengekalkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri buat penggal kedua.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, dua kerangka baharu iaitu Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP25) dan Keadilan Menang Siri PRU16 (KEMAS16) diperkenalkan bagi menghadapi PRU16.
Dalam pada itu, menurut Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PN Selangor, gabungan tersebut sememangnya mempunyai ramai calon yang layak diangkat sebagai Perdana Menteri, namun Muhyiddin terbukti lebih sesuai kerana pernah menyandang jawatan berkenaan.
“Beliau diuji dan teruji, malah berjaya. Oleh itu beliau harus teruskan.
“Sebab itu ketika beliau isytihar untuk melepaskan jawatan dalam pemilihan parti yang akan datang, akar umbi tidak benarkan kerana kita rasa kepimpinannya masih diperlukan.
“PN khususnya Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) juga sudah mula membincangkan rancangan penggantian melibatkan pelapis kepada kepimpinan parti. Berbeza dengan parti lain, ketua mereka tidak mahu melepaskan jawatan,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!