PN kecewa tindakan DUN Perak gantung Razman

IPOH - Perikatan Nasional (PN) Perak bersimpati dengan nasib Ketua Pembangkang, Razman Zakaria yang digantung selama enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Razman hanya menyuarakan kegusaran dan kesusahan hati orang Melayu susulan isu kibaran bendera negara China di Teluk Intan tahun lalu.

"Ini sesuatu yang menyedihkan kerana seorang ahli Dewan telah digantung daripada menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ahli yang boleh bersuara dalam DUN Perak.

"Beliau (Razman) menyebut agar kita di Malaysia ini menitikberatkan kenapa ia dibenarkan berlaku. Jadi atas sebab itu kerana beliau menyuarakan kegusaran dan kebimbangan perasaan orang Melayu akhirnya beliau telah digantung selama enam bulan," katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik dalam Facebook pada Rabu.

Ahmad Faizal berkata, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak yang dianggotai empat wakil kerajaan dan tiga wakil pembangkang menyebabkan Razman digantung.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak turut menyerahkan kepada rakyat menilai hukuman yang diterima oleh Razman disebabkan perkara dibangkitkan itu.

Terdahulu, DUN Perak meluluskan usul menggantung Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol daripada menghadiri persidangan DUN selama selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta.