SHAH ALAM - "Jangan bersedih sahabat-sahabat sekalian...andai saya takut, saya akan 'menurut' tapi saya pilih untuk melawan."
Demikian perkongsian bekas Timbalan Speaker Dewan Negara, Mohamad Ali Mohamad di Facebooknya pada Selasa susulan ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui bahawa setiap perlawanan ada jalan yang penuh liku yang perlu ditempuhinya.
"Jika tahun lepas saya direman oleh pihak polis, tahun ini pula saya direman oleh pihak SPRM.
"Saya tak memerlukan jaket bagi menutup gari yang mengikat tangan saya, saya tak memerlukan penutup muka bagi menutup wajah saya," katanya.
Beliau turut menyentuh kesedaran rakyat yang kini dilihat semakin peka terhadap isu semasa dan lebih matang dalam membuat pertimbangan.
"Rakyat masa kini lebih celik memerhati, lebih bijak dalam pertimbangan. Jika mereka ada kuasa di dunia, ingatlah kita ada Tuhan yang memerintah sekalian alam. Semoga rahmat ALLAH bersama kita semua insya-ALLAH.
"This is not the end, this is beginning (ini bukan pengakhiran, ini adalah permulaan)," katanya.
Sebelum ini, peguamnya, Rafique Rashid Ali dilaporkan berkata, Mohamad Ali ditahan pada jam 6.30 petang Isnin ketika pasukan SPRM menyerbu rumahnya di Tangga Batu, Melaka.
Menurutnya, SPRM turut mengambil keterangan daripada isteri dan anak-anaknya di pejabatnya di Melaka dan mereka dibebaskan kira-kira jam 9 malam hari yang sama.
Mohamad Ali dikatakan ditahan bawah Seksyen 16 Akta SPRM, berhubung dakwaan rasuah.