Setiap undi penting - MCA

TAPAH - MCA tidak memandang mudah peluang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning meskipun kawasan itu secara tradisinya kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, jentera parti tetap komited turun padang bagi membantu calon mengukuhkan sokongan pengundi, khususnya di kawasan majoriti penduduk Cina.

"Kita tidak boleh ambil ringan kerana setiap undi adalah penting.

"Jadi kita mesti bekerja keras. MCA ambil tanggungjawab ini untuk pastikan kemenangan calon.

"Paling penting kita mahu pengundi ini faham dan tahu apabila mereka keluar mengundi, undi itu untuk calon kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kempen rumah ke rumah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Getah, Tapah Road di sini pada Rabu.

**media[3087529]**

Hadir sama, Calon BN PRK DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Ahli Parlimen Tanjung Piai itu berkata, pendekatan secara bersemuka sangat berkesan dalam usaha meyakinkan pengundi terhadap kepimpinan calon.

"Pagi tadi kami ke Coldstream (Kampung Baharu) dan menerima sokongan yang positif.

"Petang ini di sini (Kampung Baharu Pekan Getah) saya lihat penduduk begitu mesra. Bukan sahaja menerima kehadiran kita tetapi mereka menyatakan sokongan kepada calon kita," katanya.

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri bersama calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).