KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengambil pendirian untuk tidak campur tangan dalam urusan kerjasama antara UMNO Sabah dan Pakatan Harapan (PH) Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Mohd Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, beliau tiada halangan jika dua parti tersebut ingin bergabung, namun menegaskan bahawa keutamaan Warisan adalah untuk membela nasib rakyat di negeri ini.
"Saya tiada masalah, itu hak mereka. Mereka boleh bergabung dengan mana-mana pihak kerana ia parti mereka, bukan parti kita. Jadi apa yang mereka lakukan dengan parti mereka, sama ada nak bergabung dengan mana-mana pihak terserah kepada mereka.
"Tapi perjalanan kita seperti yang saya nyatakan, keutamaan kepada parti Warisan ialah untuk membela rakyat Malaysia khususnya di Sabah ini, yang saya bimbangi masa depannya," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie menzahirkan kebimbangan terhadap isu pembangunan infrastruktur di Sabah yang didakwanya terjejas akibat amalan rasuah.
Menurut beliau, ada pihak mengatakan Sabah tidak boleh dibandingkan dengan Sarawak kerana negeri tersebut mempunyai hasil negeri yang tinggi namun tidak semua kegagalan perlu diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan Persekutuan.
"Kita tidak boleh tuduh 100 peratus kerajaan Persekutuan atas kegagalan kita membangun Sabah. Sebab salah satu penyakit yang menular di negeri ini dan membimbangkan saya untuk generasi akan datang adalah rasuah.
"Dari peringkat akar umbi sehinggalah ke atas, rasuah ini menjalar. Sampai dalam DUN pun tiada bekalan air," katanya.
Beliau yang memberikan contoh situasi yang berlaku di DUN sendiri di mana ketiadaan air menimbulkan persoalan besar.
"Bila lori tangki datang hantar air, baru ada. Mana perginya air paip? Takkanlah kawasan DUN pun tiada air disalurkan oleh Jabatan Air? Ini sangat membimbangkan saya," katanya.
Shafie turut berkongsi pengalamannya semasa sambutan Aidilfitri di Semporna yang terpaksa membeli air bersih berharga RM80.
"Kalau habis, kena beli lagi. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Semporna pun sama. Saya tunggu nanti penjelasan daripada Menteri Kerja Raya mengenai bekalan elektrik di sana.
"MRSM Libaran juga terpaksa catu bekalan elektrik dan ada yang perlu beli dari orang tengah. Takkanlah kita tidak ada jabatan atau agensi seperti Sabah Electricity yang boleh uruskan perkara ini? Inilah kebimbangan saya," katanya.
Sehubungan itu, berbalik kepada isu gabungan antara parti politik, beliau menegaskan bahawa terpulang kepada mereka.
"Bagi kita yang penting ialah rakyat Sabah ini menentukan masa depan mereka, tidak bergantung dengan gabungan-gabungan dengan parti kalau nak melepaskan diri daripada kepompongan pelbagai isu," katanya.