SHAH ALAM - Majoriti akar umbi UMNO dan Pas hakikatnya amat menghargai kerjasama perpaduan ummah yang terjalin di antara dua parti Melayu berkenaan menerusi piagam Muafakat Nasional (MN) sehingga hari ini, jelas Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.
Bagaimanapun, bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu mendakwa hanya 'beberapa kerat' pemimpin UMNO sahaja yang bertegas menolak kerjasama MN kembali dihidupkan.
Katanya, hal ini disebabkan segelintir pemimpin atasan UMNO itu mempunyai kepentingan politik peribadi melampaui kepentingan ummah.
Ujarnya, Pas sentiasa ikhlas menganjurkan agenda perpaduan ummah kerana ia bukan slogan ciptaan parti itu atau sesiapa, sebaliknya merupakan perintah ALLAH SWT ke atas umat Islam.
"Dalam menjayakan agenda perpaduan ummah, mengapa kita tidak boleh mengenepikan kepentingan parti dan peribadi? UMNO lebih rela ikut kehendak parti atau kehendak ALLAH SWT?
"Soal MN, hakikatnya pemimpin UMNO sahaja yang tidak mahu. Sedangkan akar umbi mereka sehingga kini masih berharap kerjasama UMNO-Pas terus berputik sebagaimana selepas piagam MN dimeterai pada tahun 2019.
"Bagi saya, tidak sepatutnya UMNO secara terbuka menolak usaha perpaduan ummah yang diperintah ALLAH SWT dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh Pas," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan saranan Pas supaya kerjasama antara kedua-dua parti melalui MN dihidupkan semula sebagai tidak ikhlas.
Timbalan Perdana Menteri itu mendakwa Pas yang keluar daripada MN, bukan UMNO kerana mereka menikam parti itu dari belakang serta melakukan kerenah melebihi apa dipersetujukan melalui piagam MN.
Sebelum ini, Hashim ketika bercakap kepada Sinar Premium menyuarakan keyakinan hubungan MN di antara UMNO-Pas mampu kembali berputik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Untuk rekod, MN adalah kerjasama yang dibentuk pada 14 September 2019 susulan Himpunan Penyatuan Ummah.
Mengulas lanjut, Hashim menegaskan UMNO tidak sewajarnya menuduh Pas menikam mereka dari belakang dengan mengajak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut bersama menyertai MN.
"Saya rasa UMNO faham perjanjian MN tidak meletakkan sebarang syarat yang UMNO atau Pas tidak boleh bersama orang lain, selagi mana pihak yang bersama itu memiliki matlamat sama untuk menjunjung hasrat pelaksanaan dasar-dasar Islam.
"Sebab itu Pas menerima hasrat Bersatu dan Gerakan untuk bersama-sama parti ini. Ini kerana mereka menghormati agenda perpaduan ummah dibawa kita, tidak menghalang kita melaksanakan syariat Islam. Pada masa sama, kita juga tidak menganggu gugat dasar perjuangan mereka yang bukan Islam," katanya.
Mengenai saranan Pas diminta menyertai Kerajaan Perpaduan demi menguatkan suara kepimpinan Melayu Islam dalam kerajaan, Hashim mendedahkan pengalaman pahit 'berkawan' dengan DAP yang tidak menghormati agenda perjuangan Pas menyebabkan parti itu menolak idea berkenaan.
Jelasnya, hala tuju perjuangan dan ideologi DAP jelas berbeza berbanding Gerakan dengan matlamat akhir parti berkenaan sama sekali bercanggah dengan kepentingan Melayu Islam.
"Meskipun mereka pernah menguar-uarkan slogan mencontohi pemerintahan Islam ala Khalifah Umar Abdul Aziz, tetapi secara praktikalnya DAP langsung tidak mengamalkan ideologi dan agenda parti yang selari dengan perjuangan parti-parti sahabat," luahnya.
Di sebalik penolakan UMNO terhadap idea menghidupkan kembali MN, Hashim meluahkan keyakinan agenda perpaduan ummah masih mampu menjadi realiti selagi mana Pas sendiri tidak pernah menganggapnya terbatal.
"Pas tidak pernah menutup pintu untuk UMNO kembali menghidupkan MN. Saya yakin suatu hari nanti pemimpin UMNO akan sedar MN dan agenda perpaduan ummah adalah satu-satunya jalan keluar untuk menyelesaikan kemelut pentadbiran negara ketika ini," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28