MELAKA– Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memerlukan seorang presiden yang hanya mendapat restu isteri, sebaliknya perlu mengutamakan sokongan ahli parti sendiri.
Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris berkata, Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya berpegang pada kenyataannya sendiri semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2023, bahawa beliau hanya akan memegang jawatan presiden untuk satu penggal atas nasihat isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
"Perkara itu diumumkan secara terbuka dan dilaporkan media maka tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak membincangkan soal transisi kepimpinan.
"Namun kini Tan Sri Muhyiddin dilihat mengingkari janji sendiri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Azrudin mendakwa, pendirian Muhyiddin untuk terus menerajui parti dan hasratnya kembali menjadi Perdana Menteri menunjukkan perjuangan beliau kini lebih berasaskan kepentingan keluarga berbanding perjuangan parti.
"Beliau kini berdepan kes mahkamah manakala menantunya diburu pihak berkuasa.
Dalam keadaan sebegini, kepentingan parti wajar diutamakan dan bukan kepentingan peribadi," ujarnya.
Menurutnya, tindakan Muhyiddin menarik balik hasrat bersara selepas tidak mendapat 'restu' isteri turut menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli parti, lebih-lebih lagi apabila beliau sebelum ini berjanji hanya akan memegang jawatan presiden untuk satu penggal.
"Kini beliau berhasrat meneruskan kepimpinan dan menzahirkan cita-cita menjadi Perdana Menteri kali kedua.
"Keadaan ini menimbulkan desakan agar beliau berundur secara terhormat kerana Bersatu bukan milik individu,” katanya lagi.
Mohd Azrudin turut menegaskan bahawa parti itu perlu melalui proses peremajaan kepimpinan bagi menarik sokongan pengundi muda yang semakin meningkat.
Tambahnya, ahli-ahli kini semakin sedar bahawa perjuangan parti tidak boleh berpaksikan kepada seorang pemimpin semata-mata kerana Bersatu adalah milik semua ahli, bukan milik peribadi mana-mana individu.
Beliau menjangkakan lebih banyak program jelajah dan kenyataan terbuka akan diadakan selepas ini bagi mendesak pengunduran Muhyiddin daripada jawatan presiden.
"Ancaman atau ugutan pemecatan tidak akan menghalang usaha ini. Kami akan terus bersuara demi masa depan parti," ujarnya.