Isu pembersihan Bersatu: Wan Saiful persoal tindakan Tun Faisal

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tindakan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang menyanggah dakwaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkaitan lembaga disiplin parti baru-baru ini.

Ia susulan selepas Wan Ahmad Fayhsal mendakwa bahawa Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin merupakan sasaran sebenar di sebalik tindakan pembersihan parti terhadap pemimpin kanan dan akar umbi.

Wan Saiful berkata, kenyataan yang dikemukakan oleh Wan Ahmad Fayhsal itu adalah berdasarkan pengalaman sebenar yang dilalui oleh beliau.

“Dalam sesi saya pada 8 Oktober, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohammed Radzi Abdul Manan berulang kali bertanyakan sama ada saya bertindak atas arahan Hamzah atau sama ada beliau merupakan ‘tuan’ di sebalik apa yang saya lakukan.

“Jika Hamzah bukan sasaran, kenapa soalan sebegini ditanya bertubi-tubi? Berhentilah meniru Profesor Serba Tahu sebab nanti disebabkan seorang kartun ini saja rakyat akan melihat Bersatu sudah menjadi parti gila-gila,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan Tun Faisal menyifatkan dakwaan Wan Ahmad Fayhsal terhadap Lembaga Disiplin Bersatu sebagai tidak bertanggungjawab dan menunjukkan beliau sudah terdesak serta ingin menimbulkan tanggapan negatif terhadap integriti parti.

Wan Saiful turut mempertikaikan kenyataan Tun Faisal yang seolah-olah lebih mengetahui pendirian lembaga disiplin parti meskipun tidak memegang sebarang posisi dalam badan jawatankuasa berkenaan.

“Yang terkini, dia (Tun Faisal) kononnya tahu apa yang berlaku dalam sesi Lembaga Disiplin. Apabila Wan Ahmad Fayhsal mengatakan bahawa sasaran sebenar lembaga disiplin parti ialah Hamzah, tiba-tiba ‘Profesor Serba Faisal’ pula menyanggah.

“Bagaimanakah seseorang yang bukan ahli panel prosiding atau jawatankuasa Lembaga Disiplin boleh mengeluarkan kenyataan mewakili lembaga tersebut?” soal beliau.

Ujar Wan Saiful, gelagat Tun Faisal yang tahu semua perkara itu ibarat sama seperti watak dalam cerita majalah tempatan popular suatu ketika dahulu iaitu Profesor Serba Tahu.

“Dulu-dulu, ada satu karakter popular dalam majalah yang bernama Profesor Serba Tahu.

“Dalam Bersatu, kita pun ada satu karakter namanya Tun Faisal Ismail Aziz. Tidak ada perkara yang dia tak tahu, melainkan tahu semuanya,” jelasnya.