PRN Sabah: Razali nafi politik wang, tegas tiada ahli parti ‘dicuri’

KOTA KINABALU - Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Razali Razi menyangkal dakwaan wujudnya amalan politik wang untuk ‘memancing’ ahli parti lain menyertai parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Razali yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau menegaskan, tidak ada sebarang tawaran diberikan kepada mereka yang ingin menyertai Gagasan Rakyat, sebaliknya keputusan dibuat atas keyakinan terhadap perjuangan parti itu untuk membela hak rakyat.

"Tiada tawaran sedemikian, pemimpin-pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) ini mereka faham asasnya. Ahli-ahli yang berada di sini, bersama dengan STAR dengan keyakinan bahawa kita di bawah satu rumah GRS dan mereka percaya serta yakin bahawa kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor ini adalah pemimpin yang tepat yang perlu kita teruskan.

"Kita tidak mahu macam dulu, rakyat Sabah yang rugi sebab kita mahu ketersambungan dan kestabilan. Kalau setiap lima tahun kita tukar, maka polisi pun bertukar, pelbagai bantuan ditukar, yang rugi rakyat. Tiada politik wang di sini, 'zero'," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar bekas Ketua Wiranita STAR Darau di Dewan Serbaguna Koperasi Yayasan Sabah Berhad di Kampung Warisan, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa ahli STAR keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat serta dakwaan kononnya pemimpin di peringkat bahagian ditawarkan wang bagi tujuan tersebut.

Razali turut menolak dakwaan bahawa Gagasan Rakyat ‘mencuri’ ahli parti lain menjelang PRN yang dijadual berlangsung pada 29 November depan.

"Tidak ada istilah 'mencuri', ia adalah perpindahan atau penghijrahan. Ayat hijrah itu sudah baik. Kita berhijrah untuk mencari kebaikan.

"Saya tidak boleh komen (kenapa ahli keluar parti dan sertai Gagasan Rakyat sekarang), yang buat keputusan STAR (keluar Gabungan Rakyat Sabah), yang buat keputusan hari ini adalah ahli-ahli STAR yang faham dengan perjuangan," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Wiranita STAR Darau, Datin Nollyzai Awang Sham menegaskan beliau juga tidak menerima sebarang imbuhan untuk menyertai Gagasan Rakyat.

"Sepanjang saya dalam bidang politik ini, saya belum pernah terlibat dengan politik wang sebenarnya. Saya tidak mahu sentuh parti lain. Sekarang ini tentang perjuangan kami.

"Saya sebagai bekas Ketua Wiranita STAR dan rakan lain, kami percaya penghijrahan ini sebab kami yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri dan saya yakin dengan Datuk Razali serta kreadibilitinya dalam memperjuangkan rakyat terutama di kawasan Darau ini.

"Saya sertai mereka secara ikhlas, sukarela dan komited bersama mereka. Kalau saya ditawarkan wang, sudah tentu saya minta jawatan tetapi tidak ada, saya hanya ahli biasa saja," tegasnya.

Difahamkan, kira-kira 250 ahli STAR Bahagian Darau telah menyertai Gagasan Rakyat dalam sidang akhbar tersebut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mendakwa terdapat cubaan untuk melumpuhkan parti itu dengan menawarkan Ketua-Ketua Bahagian supaya meletakkan jawatan dan keluar daripada parti.