Pas sokong usaha pinda perlembagaan

PUTRAJAYA - Pas sedia memberi komitmen penuh terhadap segala usaha memperkukuhkan undang-undang syariah negara.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia termasuklah jika kerajaan membawa usul pindaan perlembagaan di Parlimen.

“Mereka (kerajaan) mempunyai sokongan dua pertiga, jadi boleh buat pindaan dan Pas akan beri komitmen,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pelawaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai perbincangan antara ahli Parlimen beragama Islam berhubung perkara itu boleh dilaksanakan namun tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan politik.

Perkara itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dan Ahmad Zahid tidak mahu ia dipolitikkan.

Ahmad Zahid berkata, ini kerana keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan itu berkait dengan peruntukan perundangan diluluskan oleh DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan dan bukannya berkenaan Mahkamah Syariah.

Menurut Tuan Ibrahim, pindaan perlembagaan tidak dapat dilaksanakan sewaktu Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan terdahulu.

“Dahulu kita tidak mempunyai majoriti kerana Pas hanya ada 18 ahli Parlimen dan kerajaan ketika itu minoriti. Jadi sebarang pindaan perlembagaan tidak dapat dilaksanakan pada ketika itu,” jelas beliau.

Tambahnya, Pas juga akan mengadakan perbincangan di peringkat parti mengenai implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Bukan sahaja melibatkan negeri dikuasai Pas, tetapi di seluruh negara,” jelasnya.

Ditanya sama ada Pas atau ahli Parlimennya telah menerima undangan atau pemakluman mengenai perbincangan tersebut, Tuan Ibrahim berkata, setakat ini mereka masih belum menerima sebarang jemputan.