Sekarang bukan era ikut telunjuk Tun M

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu ‘menari mengikut rentak gendang dipukul’ Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam masa terdekat.

Pensyarah Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, ini kerana Malaysia baru sahaja mengadakan PRU15 kira-kira setahun lalu, manakala pilihan raya negeri pula tidak sampai enam bulan.

Beliau berkata, cadangan Dr Mahathir supaya PRU16 diadakan lebih awal juga membazirkan duit rakyat yang membayar cukai kerana kosnya dijangka mencecah berbilion ringgit.

“Jadi, mengapa kita perlu melayan tekanan dan desakan segelintir pemimpin sehingga membazirkan duit rakyat?

“Rakyat semakin bosan dengan percaturan politik pemimpin yang telah lama mempunyai perseteruan peribadi dengan PMX (Anwar) sejak lebih 25 tahun lalu,” ketika dihubungi Sinar Premium pada Selasa.

Mohammad Tawfik berkata demikian mengulas cabaran Dr Mahathir supaya Anwar mengadakan PRU16 dalam masa terdekat bagi membuktikan Perdana Menteri mempunyai sokongan kuat rakyat.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, beliau percaya Anwar tidak akan mengikut rentak dan desakan Dr Mahathir yang hanya mahu meletakkan tekanan supaya mengikut kemahuannya.

“Zaman sekarang bukan era mengikut telunjuk Dr Mahathir. Zaman beliau dah tamat, malah rakyat Langkawi pun menolaknya hingga hilang deposit dalam PRU15 lalu.

“Malaysia mengamalkan pilihan raya berasaskan sistem First Past the Post, bukannya PRU berbentuk pengundian langsung untuk memilih ketua kerajaan seperti Indonesia, Filipina dan Amerika Syarikat,” ujarnya.

Tambah Mohammad Tawfik, sekiranya Anwar ditolak oleh individu tertentu atau parti lawan, bukan bermakna parti teras dan komponen hilang sokongan rakyat.

“Mereka boleh pilih Perdana Menteri baharu. Jadi dalam situasi sekarang, saya lihat lebih kepada perseteruan pemimpin dengan pemimpin sahaja.

“Jika PMX menyambut seruan Dr Mahathir, maka Anwar akan terperangkap dalam permainan politik yang dicetuskan bekas Presiden UMNO itu,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar juga berpandangan, tidak ada keperluan bagi Anwar membubarkan Parlimen kerana tiada petunjuk jelas rakyat sudah hilang sokongan kepada kerajaan.

Menurut beliau, desakan Dr Mahathir itu juga memberikan implikasi buruk kepada kerajaan semasa kerana dasar direncanakan belum dapat dirasai dengan berkesan, bahkan anggota Kabinet baru dilantik tidak memungkinkan prestasi kerajaan dapat dinilai dalam tempoh sesingkat ini.

“Pada perspektif kerajaan, desakan ini sudah tentu tidak akan dilayan kerana akan memasuki perangkap pihak lawan. Melihat kepada trend pengundian terutama segmen pengundi Melayu, kerajaan masih bergelut untuk menarik sokongan selepas indikator dalam PRN tidak memihak kepada parti pemerintah.

“Segmen anak muda, penjawat awam Melayu paling ketara tidak menyokong kerajaan. Sudah tentu kerajaan memerlukan masa untuk menganjak sokongan dalam PRU akan datang untuk penggal pentadbiran seterusnya,” kata beliau.