Tiada parti muncul pemenang?

Selain meninjau parti pilihan, calon Perdana Menteri, dan isu-isu paling diberi perhatian, kajian tiga badan penyelidikan tentang kecenderungan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini turut memasukkan bentuk kerajaan campuran yang paling disukai rakyat.

Dari bentuk semudah gabungan dua parti seperti Barisan Nasional campur Perikatan Nasional kepada gabungan lebih kompleks seperti Pakatan Harapan campur MUDA, GPS, Warisan, dan beberapa parti kecil lain, keadaan ini hanya menunjukkan betapa kemungkinan untuk situasi itu berlaku - ada. Dan kemungkinan itu terlalu signifikan untuk diabaikan begitu sahaja.

Kajian Huayan Policy Institute (Huayan), Ilham Centre (Ilham) dan O2 Malaysia (O2) itu dilihat senada dengan kenyataan beberapa pimpinan parti politik seperti PH yang mengakui mereka mungkin mampu memenangi paling banyak sekitar 100 kerusi sahaja - situasi yang memaksa mereka mencari rakan gabungan dari parti lawan bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan campuran.

Seandainya unjuran PH itu tepat, barangkali agak terlalu sukar bagi parti itu membentuk kerajaan campuran dengan parti lain kerana rekod menunjukkan parti itu agak kurang disenangi parti-parti politik lain sama ada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak.

Sewaktu PH membentuk kerajaan persekutuan selepas menang PRU14 lalu, hanya Parti Warisan Sabah (Warisan) yang sudi bersama-sama mereka manakala parti-parti di Sarawak enggan, walaupun mereka beramai-ramai keluar Barisan Nasional untuk membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

 

Gabungan BN, PN kembali?

Untuk PH bekerjasama dengan BN atau PN, peluang tersebut barangkali sudah tertutup terutama sekali selepas kenyataan keras Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkenaan hal demikian.

Justeru, peluang barangkali lebih terbuka kepada BN untuk menjalin kerjasama dengan PN (atau dengan parti-parti lain termasuk Warisan, GPS dan lain-lain) untuk mencukupkan bilangan minimum 112 kerusi bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan campuran.

Walaupun BN dan PN dilihat bermusuh di pentas politik PRU15, namun tidak terlalu sukar untuk melihat mereka kembali bergabung demi menduduki kerusi-kerusi empuk di Putrajaya sementelah mereka telah pun berada dalam satu gabungan sebelum ini, sebelum parlimen dibubarkan.

Jika gabungan ini terbentuk, maka kita hanya akan dapat menyaksikan ulangan model kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM, dan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini.

Cuma siapa yang akan menjadi Perdana Menteri ke-10 bagi memimpin kerajaan yang baru, persoalan itu bakal dimainkan dalam siri-siri drama politik baru pula - yang akan dilakonkan ahli-ahli parlimen yang menang kerusi mereka PRU15 ini.