Lebih 50 tahun jadi wakil rakyat

TRIVIA - Bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan pada usia 32 tahun, ahli politik ini tidak menoleh ke belakang apabila meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat untuk 53 tahun berikutnya.

Bertanding di DUN Ulu Kelantan Barat dalam Pilihan Raya Umum Ke-3 (PRU-3) pada tahun 1969, Tengku Razaleigh Hamzah yang bertanding atas tiket Umno berjaya menewaskan calon Pas di kerusi tersebut.

Dalam PRU Ke-4 pada tahun 1974, Tengku Razaleigh bertanding kerusi parlimen Ulu Kelantan (kini Gua Musang) dan menang tanpa bertanding. Beliau kemudiannya menang semua pilihan raya seterusnya di kerusi tersebut.

Dalam PRU Ke-8 tahun 1990, beliau bertanding atas tiket Parti Melayu Semangat 46 dan membentuk gabungan Angkatan Perpaduan Ummah bersama-sama Pas, Berjasa, Hamim dan Kimma. Gabungan ini walau bagaimanapun hanya berjaya di Kelantan di mana salah satu kerusi yang dimenangi adalah Gua Musang yang ditandingi Tengku Razaleigh.

Tengku Razaleigh menyertai semula Umno selepas Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996 namun mengekalkan kedudukannya sebagai ahli parlimen Gua Musang sehingga yang terakhir, PRU-14 pada tahun 2018. Penyertaan dalam PRU-15 pada tahun ini walau bagaimanapun belum dapat dipastikan.

Tengku Razaleigh Hamzah
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :