Adakah Muda akan diterima pengundi muda?

Ada kedengaran sedikit nada gusar dalam ucapan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad minggu lalu yang meminta terma ‘pengundi muda’ tidak digunakan sebaliknya meluaskan penggunaan terma ‘pengundi baru’.

Ia jelasnya, bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai terutamanya para pengundi akan perkaitan antara  ‘pengundi muda’ dengan pengundi parti Muda, atau Ikatan Demokratik Malaysia yang menurut penyandang Menteri Besar Johor itu, tidak pun mewakili orang muda.

Ucapan beliau di Iskandar Puteri itu merujuk konteks pertambahan bilangan pengundi di seluruh negara susulan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik dan penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun.

Johor yang akan melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac depan akan jadi negeri pertama berdepan situasi ini selepas dua PRN sebelum ini di Melaka dan Sarawak tidak berpeluang ‘menyambut’ kehadiran pengundi-pengundi baru ini yang berjumlah jutaan orang.

Di Johor sahaja, ada lebih 700,000 pengundi baru akan berpeluang keluar mengundi buat pertama kali - tidak kiralah sama ada mereka akan keluar mengundi atau tidak.

Pertambahan bilangan pengundi baru ini menyumbang kira-kira 30 peratus kepada keseluruhan pengundi di negeri selatan tanah air itu - peratusan yang menurut sesetengah pandangan, akan memberi kesan cukup signifikan kepada keputusan PRN di sana.

Justeru, tidak hairan wacana ‘pengundi baru’ atau ‘pengundi muda’ ini mengambil ruang yang cukup banyak dalam kempen PRN Johor yang bakal dijalankan kurang tiga minggu dari sekarang.

700 ribu pengundi baru

Muda, yang baru sahaja lulus pendaftarannya tahun lalu selepas beberapa bulan ‘bergelut’ di mahkamah tidak mengambil masa lama untuk ‘berpencak’ di gelanggang politik negara apabila membuat keputusan bertanding dalam PRN Johor.

Parti itu pada Isnin mengumumkan tiga calon yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, dan Bukit Pasir lewat Lim Wei Jiet, Afiqah Zulkifli, dan Mohd Azrul Rahani selepas mengumumkan calon pertama mereka, Amira Aisya di DUN Puteri Wangsa minggu lalu.

Muda, menerusi permuafakatan dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dilaporkan akan bertanding di enam kerusi. Selain kerusi-kerusi yang telah diumumkan calon-calonnya, mereka juga akan bertanding di DUN Parit Raja, dan DUN Machap.

Selesai urusan penamaan calon nanti, persoalan seterusnya yang timbul adalah: adakah parti Muda yang secara harfiahnya juga masih muda ini, akan dapat menarik sokongan para pengundi muda yang membentuk peratusan besar dalam PRN Johor nanti?

Kemunculan parti yang sinonim dengan orang muda ini pada masa lebih 700,000 pengundi baru (yang peratusan besarnya adalah pengundi muda) barangkali bukan sesuatu yang direncana parti tersebut, walaupun usaha ini secara aktif digerakkan presidennya, Syed Saddiq Syed Abd Rahman sejak beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan dalam tempoh pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) lewat usaha Undi18.

Undi18 dan penubuhan Muda adalah sebahagian daripada liku-liku perjalanan dalam karier politik Syed Saddiq yang mencatat rekod apabila menjawat jawatan menteri kabinet pada usia seawal 25 tahun pada 2018, namun adakah usaha-usaha tersebut dapat menyentuh hati orang muda, atau ia sama sekali tidak dipedulikan golongan tersebut?

Kesedaran pengundi muda adalah wacana seterusnya yang perlu dibincangkan selepas selesai urusan mendaftarkan mereka secara automatik sebagai pengundi.

Pernah ubah kerajaan

Dari keseluruhan kira-kira 2.6 juta pengundi di Johor, kira-kira 700,000 pengundi berada dalam lingkungan usia 18 hingga 30 tahun, membentuk peratusan sekitar 28 peratus.

Jika julat ini ditambah sedikit kepada lingkungan usia 18 hingga 40 tahun yang masih dalam julat usia belia, peratusannya akan jadi kira-kira 50 peratus, atau separuh daripada keseluruhan pengundi.

Namun, ada dua soalan yang boleh diterbitkan dari kenyataan di atas iaitu yang pertama, adakah mereka semua akan turun mengundi pada 12 Mac nanti?

Dan soalan kedua, jika mereka turun mengundi, adakah mereka akan mengundi Muda?

Soalan pertama menyentuh kesedaran politik anak muda untuk keluar menjalankan tanggungjawab sekaligus menunaikan hak mereka sebagai pemilih dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini

Menyorot sedikit ke belakang, golongan muda jadi faktor utama perubahan apabila dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, undi-undi dari peti undi yang diisi mereka telah menghantar Barisan Nasional (BN) ke blok pembangkang buat kali pertama dalam sejarah negara.

BN bukan sahaja tewas di peringkat persekutuan, mereka juga kehilangan Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kedah dan Sabah kepada Pakatan Harapan (PH) selain terus gagal di Selangor dan Pulau Pinang.

BN juga gagal merebut kembali Kelantan dan Terengganu dari tangan Pas meninggalkan hanya dua negeri iaitu Perlis dan Pahang untuk mereka kuasai.

Benci ahli politik

Gelombang anak muda membuat perubahan dapat dilihat dengan jelas pada ketika itu lewat gerakan-gerakan seperti #UndiRabu, #PulangMengundi dan #CarpoolGE14 yang digerakkan anak muda pelbagai kaum dan beroperasi kebanyakannya secara dalam talian.

Suasana sebegitu walau bagaimanapun mungkin tidak lagi dirasai pada ketika ini khususnya menjelang PRN Johor yang berbaki kurang tiga minggu dari sekarang.

Selepas Langkah Sheraton yang ditandai ‘lompatan’ beramai-ramai ahli politik sehingga menumbangkan kerajaan PH yang dipilih rakyat, gelombang perubahan politik anak muda barangkali kian mengendur.

Ketidak upayaan PH mengurus perubahan selepas merebut tampuk pemerintahan, pergolakan dalaman antara parti-parti komponennya, sentimen kaum dan agama keterlaluan yang dimainkan parti berteraskan bangsa dan agama, selain sifat oportunistik pemimpin tertentu tidak merapatkan jurang antara anak muda dengan politik sebaliknya hanya melebarkannya sehingga ke tahap mereka membenci ahli politik dan politik itu sendiri.

Oleh sebab itu, mengharapkan anak muda untuk membuat perubahan sekali lagi di peti undi dalam PRN Johor kali ini seperti agak keterlaluan - ia seperti mengharapkan seorang kekasih untuk terus setia selepas dikhianati.

Justeru, isu ini adalah halangan pertama yang perlu diselesaikan bukan sahaja Muda malah semua parti yang bertanding PRN Johor.

Hanya sahaja jika isu ini dapat dijawab, maka kita boleh beralih kepada soalan seterusnya iaitu siapakah yang akan jadi pilihan mereka?

Syed Saddiq Syed Abdul RahmanPRN Johor
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :