Sorotan politik 2021 apa jadi 2022

Tahun 2021 bakal berakhir dua hari lagi. Ketika menguak jendela 1 Januari tahun ini, kita barangkali berandaian tidak banyak peristiwa politik berlaku pada tahun ini selepas klimaksnya sekira-kira dicapai dalam Langkah Sheraton tahun lalu.

Agak terlalu ekstrem untuk menyaksikan berlakunya satu lagi perubahan kerajaan tahun ini selepas peristiwa yang tidak biasa terjadi itu berlaku tahun lalu apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang sebelum penggal berakhir dan digantikan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Namun, peristiwa yang tidak disangka-sangka itu berlaku juga. Agaknya Langkah Sheraton dan kekalahan Barisan Nasional (BN) dua tahun sebelumnya telah menjadi dua peristiwa besar yang mengajak para politikus negara menjadi semakin galak dalam merencana tindak dan laku politik mereka.

Seawal Januari, rakyat berdepan pengalaman baru lewat pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari yang hadir selepas enam negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu.

Hadir sama dengan ‘pakej’ pengisytiharan Darurat ini ialah penutupan Dewan Rakyat, Dewan Negara, dan Dewan Undangan Negeri yang tidak memungkinkan berlakunya proses semak dan imbang dalam sebarang penggubalan dasar dan polisi serta perbelanjaan kerajaan.

Penutupan Dewan-Dewan ini akhirnya menimbulkan keresahan apabila ia berlaku terlalu lama justeru timbul desakan untuk membukanya kembali yang bukan sahaja digerakkan ahli-ahli politik pembangkang malah diangkat rakyat dan masyarakat sivil, dan yang mengejutkan adalah apabila ia turut disuarakan pihak istana.

Desakan-desakan lain datang dalam bentuk hasrat menamatkan darurat, gesaan anak muda yang mahu Undi18 dilaksana segera, dan juga mahu kerajaan bertanggungjawab atas bilangan kes positif Covid-19 dan angka kematian yang tinggi dan meningkat saban hari.

 

Perang tanda pagar

Gesaan-gesaan turut hadir dalam bentuk permintaan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) kerajaan PN yang dianggap gagal menangani kemelut wabak pandemik dan politik sehingga muncul tanda-tanda pagar seperti #KerajaanGagal, #Lawan, #MuhyiddinOut dan sebagainya di laman sosial oleh warga maya.

Situasi-situasi ini nyata jadi latar belakang kepada gerakan politik selepas itu yang direncana para politikus dalam dan luar kerajaan apabila sasaran ditujukan secara khusus kepada Muhyiddin yang setahun sebelum itu memakai watak serta gelar ‘Abah’ dan tampil cukup popular selepas mengangkat sumpah sebagai PM kelapan.

Situasi-situasi ini juga jadi peluang cukup sempurna kepada UMNO pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk melancarkan gerakan seterusnya selepas tindakan pertama mereka pada Mac lewat aksi memutuskan kerjasama dengan Bersatu yang merupakan rakan sekutu mereka sendiri dalam kerajaan.

Aksi seterusnya adalah pengumuman penarikan sokongan UMNO diikuti ahli-ahli palimen parti itu terhadap Muhyiddin sebelum kita menyaksikan siri peletakan jawatan menteri-menterinya pula dari kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Kemuncak kepada drama politik ini adalah apabila Muhyiddin akhirnya meletak jawatan sebagai PM pada 16 Ogos dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri yang sebelumnya dinaikkan ke kerusi Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk meredakan ‘serangan’ UMNO, dipilih secara sebulat suara oleh partinya dan ahli-ahli parlimen BN yang lain sebagai calon PM sebelum disahkan pelantikannya oleh Yang Dipertuan Agong.

Pelantikan Ismail Sabri sebagai PM kesembilan selepas 17 bulan Muhyiddin menjawat jawatan itu berlaku walaupun pada awalnya beliau dan kira-kira 30 ahli parlimen BN lain dilihat tidak bersekutu dengan kumpulan Zahid Hamidi yang menguasai 15 ahli parlimen UMNO yang lain.

Namun seperti kata pepatah Inggeris, birds of a feather flock together, atau pepatah Melayu, carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga, UMNO melalui siri-siri mesyuaratnya yang sebelum itu berlangsung saban malam, memutuskan menamakan Ismail Sabri sebagai calon PM, dan bukan orang lain.

 

BN takluk Melaka, GPS rajai Sarawak

Bermulalah kembali zaman pemerintahan UMNO-BN di negara ini walaupun tidak melalui proses pilihan raya, selepas mereka tumpas buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Apabila kita menyangka itulah aksi politik terakhir tahun ini, tiba-tiba muncul empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengisytiharkan penarikan sokongan terhadap Ketua Menteri (KM) pada Oktober sehingga mengakibatkan DUN dibubarkan.

UMNO memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan cukup yakin walaupun bergerak dalam gabungan asalnya, BN sahaja tanpa melibatkan kerjasama dengan sama ada PN atau pun Muafakat Nasional (MN) dengan Pas.

Hasilnya, mereka menang besar dengan meraih 21 daripada 28 kerusi dan kekal mentadbir negeri Hang Tuah itu untuk lima tahun lagi.

Berakhir PRN Melaka, Sarawak pula membuka pintu untuk PRN di sana. Apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar dengan hanya meninggalkan enam kerusi untuk diagihkan empat kepada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan dua kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) manakala 76 kerusi selebihnya mereka bolot, ia hanya menunjukkan ketidak sediaan rakyat Bumi Kenyalang itu dengan parti yang tidak berorientasi utamakan wilayah mereka.

PRN Sarawak menutup kalendar politik tahun 2021, jadi lembar terakhir yang dikoyakkan sebelum membuka kalendar baru tahun 2022.

Apakah yang menanti tahun 2022? Adakah PRU-15 akan dilangsungkan dalam tempoh ini? Atau PM Ismail Sabri masih mahu menikmati tempoh sebagai PM sehingga penggal berakhir 2023 nanti?

Sama-sama kita nanti dan saksikan.