Yang muda yang lama dalam PRN Sarawak

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) usai proses penamaan calon 6 Disember lalu, terdapat 349 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Dari jumlah ini, seramai 304 calon adalah lelaki manakala selebihnya 45 calon adalah wanita. Seperti dalam PRN Melaka bulan lalu dan dalam hampir setiap pilihan raya yang pernah diadakan di negara ini, bilangan calon wanita masih agak terlalu sukar mencapai sasaran 30 peratus, malah 20 peratus pun masih jauh dari gapaian.

Dilihat dari julat umur pula, calon berusia 60 tahun ke atas menguasai pencalonan apabila seramai 141 orang atau 40 peratus calon berada dalam kelompok umur ini.

Dari kumpulan ini, yang paling tua adalah calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Soon Koh yang akan bertanding merebut kerusi DUN Bawang Assan. Beliau berusia 79 tahun.

Soon Koh berdepan persaingan empat penjuru di mana beliau perlu berdepan calon-calon lebih muda dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Robert Lau Hui Yew, Parti Bumi Kenyalang, PBK (Michelle Ling Shyan Mih), dan calon Bebas, Ricky Enteri.

Sebagai bekas menteri kabinet Sarawak, Soon Koh punya pengalaman luas apatah lagi beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan selama enam penggal.

 

‘Menang’ usia

Namun kekecewaan kepada kerajaan negeri lantaran tiada ahli PSB dilantik sebagai Kaunselor pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri tersebut mendorong peletakan jawatan Presiden PSB itu dari kabinet Sarawak.

Kali ini beliau mempertaruhkan pengalaman dan populariti beliau merebut semula kerusi Bawang Assan dari tiga calon lain.

Dalam julat usia calon yang dipecahkan selang sepuluh tahun ini, bermula umur 21 iaitu umur minimum layak menjadi calon pilihan raya, kumpulan terkecil adalah kumpulan pertama iaitu yang berusia 21 hingga 29 tahun - hanya lapan orang, atau hanya dua peratus daripada keseluruhan calon.

Yang menarik adalah terdapat dua calon termuda yang sama usia iaitu calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cherishe Ng yang bertanding di DUN Batu Lintang, dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Olivia Lim Wen Sia di DUN Nangka. Kedua-dua anak muda ini berusia 24 tahun.

PKR nampaknya meneruskan tradisi sejak PRN Melaka lalu dalam PRN Sarawak kali ini, ‘menang’ dari segi menurunkan calon termuda dalam dua PRN berturut-turut.

Dalam PRN Melaka bulan lalu, parti itu merebut perhatian ramai apabila mencalonkan mahasiswi berusia 21 tahun, Farzana Hayani Nasir untuk bertanding di DUN Sungai Rambai.

Farzana walau bagaimanapun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Siti Faizah Abdul Azis dan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Jefri Safry dalam persaingan empat penjuru. Beliau hanya menang ke atas calon Bebas, Nazatul Asyraf Md Dom yang hilang wang pertaruhan.

 

Berdepan calon senior

Dalam PRN Sarawak, Cherishe bakal berdepan cabaran dari calon-calon yang jauh lebih senior dalam persaingan lima penjuru di DUN Batu Lintang yang terletak dalam Parlimen Kuching.

Graduan undang-undang Universiti Malaya itu akan bersaing dengan calon-calon dari GPS yang diwakili Sih Hua Tong, PSB (See Chee How), PBK (Voon Lee Shan), dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak, Aspirasi (Leong Shaow Tung).

Manakala Olivia di DUN Nangka bersaing dalam perebutan kerusi tiga penjuru dengan calon GPS, Annuar Rapaee dan seorang lagi calon wanita dari PSB, Intanurazean Wan Sapuan Daud.

Sejauh mana kemampuan Cherishe, Olivia dan enam calon muda lain mencabar dominasi calon-calon veteran akan dilihat 18 Disember ini pada hari pembuangan undi.

Kemenangan salah seorang daripada mereka akan memberi isyarat pengundi Sarawak bersedia memberi peluang kepada ‘darah baru’ dalam politik dan pentadbiran negeri Bumi Kenyalang itu.

Untuk rekod, bagi kumpulan usia 30-39 tahun, bilangan calonnya adalah 37 orang, usia 40-49 tahun (50 orang), manakala usia 50-59 tahun (113 orang).

Wong Soon KohChrishe NgOlivia Lim Wen SiaPRN Sarawak
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :