Bye-bye Melaka Hello Sarawak

Belum pun reda dengan kehangatan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kini mata rakyat tertumpu kepada satu lagi negeri yang bakal menjalankan pilihan raya iaitu Sarawak.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh pada Rabu menetapkan tarikh pengundian bagi PRN Sarawak Ke-12 pada 18 Disember depan manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember.

Tarikh bagi pengundian awal pula ditetapkan pada 14 Disember.

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berkuat kuasa pada 3 November telah memberi laluan kepada berlakunya pilihan raya negeri.

Pada 4 November lalu, SPR mengumumkan PRN Sarawak akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Yang Di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Billah Shah memberi perkenan untuk pembatalan proklamasi darurat di negeri tersebut.

Persoalan yang berlegar pada ketika ini, adakah SPR akan menjadikan PRN Melaka sebagai satu penanda aras atau ada penambahbaikan khususnya dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa PRN berjalan?

Akses internet jadi cabaran

Seperti yang kita sedia maklum, PRN Melaka berlangsung dengan SOP khas dan ketat dengan beberapa larangan, antaranya penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, ziarah rumah ke rumah dan 'walkabout' berikutan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

Selain itu, SPR turut menasihatkan setiap calon dan parti memaksimumkan pendekatan secara dalam talian dan media massa bagi membantu proses kempen.

Permasalahannya kali ini sekiranya SOP itu diguna pakai pada PRN Sarawak, pastinya para calon dan parti menghadapi lebih kesukaran dalam menjalankan aktiviti berkempen khususnya kepada pengundi yang tinggal di rumah panjang di kawasan pedalaman.

Pada masa yang sama, calon juga pastinya menghadapi kesukaran untuk mengakses internet memandangkan capaian internet di kawasan pedalaman negeri Sarawak tidak memiliki liputan yang baik.

Sudah semestinya tempoh 12 hari yang diperuntukkan oleh SPR untuk menjalankan kempen bakal menjadi satu jangka masa yang perit untuk dilalui oleh jentera parti dan calon yang bakal bertandi di PRN Sarawak kali ini.

Walau bagaimanapun, sekiranya SOP tersebut masih akan diguna pakai oleh SPR pada PRN Sarawak, pastinya setiap calon dan parti yang mengambil bahagian sudah mengambil iktibar dan menjadikan PRN Melaka satu contoh untuk meneruskan proses pilihan raya di Sarawak.

Jika di Melaka ada calon yang menggunakan skuter elektrik, kuda, lori dan sebagainya untuk menjalankan kempen, sudah pastinya kita akan melihat pelbagai lagi kreativiti calon pada PRN Sarawak.

Mungkin ada yang akan menggunakan bot laju untuk mengedarkan risalah semasa berkempen kali ini kerana segala kemungkinan boleh berlaku memandangkan kreativiti calon amat diperlukan dan tidak boleh bergantung harap kepada platform media sosial sahaja.

PRN Sarawak
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :