Stabilkan Selangor selepas Langkah Sheraton

Kerajaan Selangor mengambil pendekatan menjalin hubungan yang profesional dengan kerajaan Persekutuan selepas insiden Langkah Sheraton bagi menstabilkan semula politik negeri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hubungan itu tidak dicampuradukkan dengan dengan kecenderungan atau kebencian politik yang melampau demi kepentingan rakyat.

"Selepas saya tahu sebahagian daripada mereka (yang membarisi Kabinet kerajaan baharu) adalah bekas-bekas rakan rapat dan rakan sehaluan dulu, saya menetapkan bahawa hubungan antara (kerajaan) negeri dan (kerajaan) Pusat harus bergerak secara profesional.

"Sebab itu saya berhubung seperti biasa dengan kerajaan Persekutuan," katanya pada wawancara eksklusif bersama Sinar Harian yang diadakan di kediaman rasmi beliau di sini pada Isnin.

Insiden Langkah Sheraton pada 24 Februari 2020 menyaksikan 11 ahli Parlimen diketuai bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan parti.

Tindakan itu menyusul selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada hari sama, menyebabkan gabungan yang menjadi kerajaan ketika itu hilang majoriti sebelum terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Berpendirian tegas

"Esoknya juga saya panggil semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dan menyatakan pendirian saya dengan tegas bahawa kami tidak boleh terikut-ikut (dengan tindakan segelintir pemimpin) dan perlu kekalkan pentadbiran kerajaan negeri.

"Pada hari kedua, saya bertemu dengan pimpinanpimpinan parti seperti Gobind Singh Deo diikuti pula pertemuan saya dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pendirian kami," ujarnya.

Bagaimanapun, ADUN Sungai Tua yang juga Ahli Parlimen Gombak itu mendakwa, kerajaan PN ketika itu tidak jujur dalam menjalin hubungan politik dengan kerajaan negeri yang diterajui parti lain.

Menurutnya, kerajaan Selangor waktu tersebut berdepan beberapa kekangan termasuk dihalang daripada menyiarkan program di saluran televisyen kerajaan.

"Sebab itu saya tak ikut dalam Langkah Sheraton itu kerana sedar akhirnya kita perlu jujur dalam mentadbir dan mengurus. Kejujuran dan kepercayaan itulah yang akan menjadikan kerajaan lebih bertahan lama," tambahnya.

Justeru, Amirudin berharap koalisi Kerajaan Perpaduan dilahirkan dengan kejujuran dan bukan bermula dengan tipu daya bagi memastikan ia kekal lama.

Sementara itu, Amirudin menyifatkan dapatan kajian sebuah firma penyelidikan menunjukkan 71 peratus responden yang juga pengundi Melayu menyokong kepimpinan beliau di Selangor dan lebih 51 peratus memilihnya untuk menjadi Menteri Besar semula adalah satu pengiktirafan kepada corak kepimpinan serta kejayaan kerajaan negeri bagi penggal ini.

Tegasnya, kejayaan yang diraih itu hasil kerja berpasukan dengan pasukan pentadbiran kerajaan negeri sebagaimana pesanan yang selalu beliau titipkan bahawa kesemua mereka perlu bekerja sebagai satu pasukan.

"Saya ucap terima kasih kepada pasukan pentadbiran kerajaan negeri yang bekerja keras dan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas siang malam, pagi petang.

"Ini juga satu manifestasi kepada capaian program-program kita ke bawah. Ia (kejayaan) bukan hanya persepsi tetapi satu pencapaian dan lebih manis lagi ia digarap serta dihasilkan saat saya berdepan dengan empat krisis serangkai," ulasnya.

Krisis-krisis yang dimaksudkannya ialah membabitkan penularan pandemik Covid-19, ketidaktentuan politik dan masalah alam sekitar serta kegawatan ekonomi yang berlaku ketika pandemik pada tahun 2020 hingga 2022.

Kepercayaan terhadap pasukan

Mengulas lanjut, Amirudin memberitahu, krisis-krisis tersebut memerlukan kepimpinan yang berhati-hati tetapi perlu cepat dan tegas dalam membuat keputusan selain memerlukan komunikasi yang ampuh mengambil kira situasi krisis yang menekan rakyat ketika itu.

"Alhamdulillah kita di Selangor saya membuka peluang yang besar kepada semua exco kerajaan negeri untuk melakukan perbincangan sejujur mungkin. Itu menjadi resipi sebab teras dan kepercayaan merupakan elemen yang penting dalam konteks pentadbiran saya ketika itu," kata beliau lagi.

“Amirudin menyifatkan dapatan kajian sebuah firma penyelidikan menunjukkan 71 peratus responden yang juga pengundi Melayu menyokong kepimpinan beliau di Selangor dan lebih 51 peratus memilihnya untuk menjadi Menteri Besar semula adalah satu pengiktirafan kepada corak kepimpinan dan kejayaan kerajaan negeri bagi penggal ini."

Amirudin memaklumkan, kepercayaan itu termasuklah kepada penjawat awam di mana kerajaan negeri memberikan mereka peluang, kesempatan dan tanggungjawab sepenuhnya untuk melunaskan tugas masing-masing.

"Buktinya dalam Rancangan Selangor Pertama, 70 hingga 80 peratus rancangan itu dirangka oleh penjawat awam dan mungkin situasi ini tidak berlaku di dalam beberapa pentadbiran di luar sana yang selalu mengambil konsultan.

"Ya saya akui kita turut guna khidmat konsultan tetapi khidmat konsultan hanya diambil di peringkat akhir untuk melengkapkan kajian. Tapi semua kerja di peringkat awal, perkara asas itu dibuat oleh penjawatpenjawat awam," kongsinya.

Jelas beliau, kejayaan yang dipacu semangat berpasukan itu juga membolehkan kerajaan negeri mendapat lebihan daripada sasaran pendapatan untuk tempoh tiga tahun berturut-turut iaitu pada 2020, 2021 dan 2022.

 

Selangor