PRN Muda bertanding sekadar pecah undi - AMK

SHAH ALAM - Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos depan sekadar menjadi pemecah undi melainkan parti itu mempunyai kekuatan membentuk kerajaan.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, kini menjadi persoalan sama ada Muda mempunyai kekuatan untuk menjadi blok ketiga atau sebaliknya.

Ujar beliau, tindakan Muda boleh merencatkan inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk melakukan pembaharuan.

"Apabila Muda masuk bertanding dalam PRN, mereka hanya akan jadi pemecah undi sekali gus menghalang Kerajaan Perpaduan dalam melaksanakan pelbagai agenda untuk rakyat sedangkan kita kini sudah berada di landasan yang betul.

"Secara umum,tidak dinafikan mana-mana parti atau individu mempunyai hak untuk bertanding namun menjadi kebimbangan saya adalah perkara itu akan merencatkan usaha Kerajaan Perpaduan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pada Isnin, Muda mengumumkan enam lagi calon yang akan bertanding dalam PRN masing-masing empat di Selangor dan seorang di Pulau Pinang serta Terengganu, menjadikan jumlah terkini calon Muda seramai lapan orang.

Ditanya berhubung kesediaan Pakatan Harapan (PH) dalam menjalinkan kerjasama dengan Muda, Haziq memberitahu, ia tertakluk kepada keputusan jawatankuasa yang ditubuhkan.

"Kita sentiasa akur dengan keputusan kepimpinan parti cuma apa yang saya ingin jelaskan di sini perkara tersebut sedikit sukar bagi akar umbi.

"Saya diberitahu, satu memorandum yang mewakili akar umbi yang menyatakan jangan terima untuk mengadakan kerjasama dengan Muda telah dihantar kepada pihak atasan," jelasnya.

 

 

Selangor