'Apa motif Pas, kalau fikir tidak logik' - Hafidzah

KOTA BHARU - Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan mempersoalkan motif kenyataan yang dikeluarkan Pas mengenai parti itu yang didakwa diajak menyertai Kerajaan Perpaduan.

Timbalan ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim mendakwa hairan dengan kenyataan berkenaan terutama ketika menghampiri pilihan raya negeri.

"Kita pun hairan kenapa selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pas mengeluarkan kenyataan begitu. Apa motif mereka?

"Dengan Kerajaan Perpaduan yang begitu kuat, kita fikir....logikkah... dari segi kewajarannya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Bagaimanapun, Dr Hafidzah yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Kelantan berkata, dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi, parti itu berharap kemenangan.

"Kita pun nak kena sahihkan adakah betul kenyataan berkenaan. Kalau fikir secara nyata, ia seperti tidak logik," katanya.

Dr Hafidzah tidak menafikan Pas merupakan pembangkang yang kuat tetapi kenyataan itu mungkin membawa persoalan kepada rakan parti Pas.

"Apa kata rakan-rakan dalam Perikatan Nasional? Banyak persoalan yang timbul, tambahan lagi kenyataan berkenaan menjelang pilihan raya," katanya.

Sebelum ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada beberapa pihak menawarkan Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.