PRN17: UMNO Sabah diingatkan hayati tiga mesej utama

KOTA KINABALU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi penekanan terhadap tiga mesej utama yang perlu dihayati oleh seluruh jentera UMNO Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan datang.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tiga mesej berkenaan disampaikan menerusi ucapan Presiden UMNO sempena Majlis Sambutan Hari UMNO ke-79 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.

Bung Moktar menyifatkan ucapan tersebut bukan sekadar mengenang jasa silam, malah turut meniup semangat baharu untuk kebangkitan UMNO dalam landskap politik masa kini.

"Presiden telah menekankan tiga mesej penting yang wajib dihayati oleh seluruh jentera UMNO Sabah dalam menghadapi PRN17 akan datang, iaitu yang pertama, UMNO mesti kembali kepada rakyat.

"Kita tidak boleh bergantung pada janji, tetapi mesti turun padang, mendengar rintihan rakyat dan membawa penyelesaian. Politik hari ini menuntut pemimpin yang bukan sahaja popular, tetapi berjiwa rakyat dan bekerja siang malam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Bung Moktar lagi, mesej seterusnya menekankan agar kesilapan lalu tidak berulang, dengan mengingatkan bahawa kekalahan UMNO bukan disebabkan kekuatan lawan, tetapi berpunca daripada kelemahan dalaman parti.

"Di Sabah, kita mesti bersatu. Perbezaan pendapat tidak boleh menjadi alasan untuk perpecahan. Kita lawan musuh politik, bukan sesama sendiri.

"Ketiga, UMNO mesti menjadi parti masa depan, bukan parti kenangan. Dalam era digital dan generasi muda, kita perlu muncul dengan idea dan wajah baharu. Kita mesti mendidik, melibatkan dan memperkasakan anak muda Sabah sebagai pewaris perjuangan," katanya.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah turut mengingatkan bahawa UMNO kekal sebagai tulang belakang kepada pembinaan negara dan bangsa serta terus menjadi suara akar umbi hingga ke hari ini.

"Di Sabah, UMNO telah membina universiti tempatan yang pertama di negeri ini iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), sekolah, klinik, jalan raya, masjid, serta peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat di seluruh pelosok negeri dan banyak lagi pembangunan yang dibuat.

"Ini bukan retorik, ini sejarah yang terpahat dalam realiti rakyat Sabah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pimpinan, jentera dan ahli UMNO di seluruh Sabah agar bangkit, bersatu dan terus berjuang.

"Kita akan jadikan PRN17 medan kebangkitan semula UMNO Sabah. Kita tidak akan biarkan parti kita dihina oleh mereka yang tidak pernah menanam bakti, tetapi hari ini mahu menuai hasil.

"Kita adalah parti yang punya sejarah, dan kita akan buktikan kita juga parti yang punya masa depan," katanya.