KUALA LUMPUR - PKR memecat 28 ahli termasuk tiga pemimpin yang menang pada pemilihan Cabang parti itu selepas disahkan mempunyai keahlian dalam parti politik lain.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, pemecatan itu dibuat selepas proses semakan dan pengesahan keahlian oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti.
"Pada peringkat awal, sebanyak 36 ahli dikenal pasti dan tindakan pemecatan telah disahkan oleh MPP selepas selesai penamaan pencalonan di peringkat Cabang, tetapi mereka (individu yang dipecat) ada tempoh dua minggu untuk merayu.
"Daripada jumlah itu, hanya 11 individu mengemukakan rayuan disertakan dengan bukti komitmen mereka kepada perjuangan parti, mereka kemudiannya diterima semula sebagai ahli,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
Fuziah menjelaskan tindakan susulan turut diambil selepas proses pemilihan Cabang selesai, melibatkan pemecatan tiga lagi pemimpin parti iaitu Ketua Cabang Jempol, Ketua Cabang Pasir Salak serta Ketua Wanita Cabang Besut.
Beliau menegaskan proses mengesahkan setiap aduan bukan sesuatu yang mudah kerana kebanyakan bukti yang dikemukakan tidak lengkap dan susunan garis masa juga kabur.
"Kami sering menerima aduan tentang keahlian dua atau tiga parti. Perkara pertama saya selalu buat adalah menentukan parti mana yang terakhir mereka sertai.
"Jika bukan Keadilan, maka ada alasan untuk tindakan tatatertib. Tindakan hanya diambil jika ada bukti,” katanya.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan 23 Mei ditetapkan sebagai hari pengundian. - Bernama