ARAU – Kekalahan PH pada PRK Cameron Highlands, semalam merupakan satu pengajaran untuk PH memperbaiki kelemahan atau kekurangan dalam pakatan, terutama dalam menyelesaikan masalah rakyat.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun tewas, PRK itu memberi peluang kepada PH mendapat maklum balas rakyat mengenai harapan mereka terhadap kerajaan.
“Maklumat kita terima daripada akar umbi tentang apa isu pokok yang rakyat tidak puas hati, kos sara hidup, pembangunan dan sebagainya kita akan teliti walaupun kita kalah.
“Dalam situasi dan keadaan sekarang ini banyak PH kena ambil kira, dan kita kena perbaiki masalah dan keadaan sedia ada,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai keputusan PRK itu, di sini, hari ini.
Keputusan PRK Cameron Highlands semalam menyaksikan BN mengekalkan kerusi itu selepas calonnya, Ramli Mohd Nor memperoleh 12,038 undi berbanding calon PH M.Manogaran (8,800) manakala dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing 314 dan 276 undi.
Bagaimanapun Muhyiddin berkata, beliau yakin keputusan itu tidak menggambarkan keadaan keseluruhan rakyat di negara ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai konflik dalaman kepimpinan Bersatu Perlis, Muhyiddin berkata, pimpinan parti peringkat pusat telah mengambil alih kepimpinan negeri untuk menyelesaikan masalah parti itu di negeri ini.
Tanpa menyatakan masalah yang dimaksudkan beliau, Muhyiddin berkata , pengambilalihan itu hanya untuk seketika sehingga satu barisan kepimpinan baharu dimuktamad dan diumumkan kelak.
“Langkah-langkah telah dimulakan dan nanti kita akan syorkan apa bentuk penyusunan semula kepimpinan di peringkat negeri.
“Jadi sementara ini saya merayu agak tidak ada pihak mengeluarkan kenyataan, biarlah keadaan tenteram dan teratur dan Insyaallah kita akan selesaikan secepat mungkin,” katanya.
Bersatu Perlis menghadapi kemelut dalaman selepas pengguguran Setiausahanya, Wan Saiful Wan Jan sebelum ini dengan alasan faktor kesihatan, bagaimanapun Wan Saiful kemudian mendakwa pengguguran itu dibuat atas faktor lain yang membabitkan krisis integriti kepemimpinan parti itu di negeri ini.
Terdahulu Muhyiddin menjadi ahli panel pada sesi dialog Kongres Melayu Perlis 2019 yang dianjurkan Persatuan Kecemerlangan dan Pembangunan Perlis dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis.
Kongres itu bertujuan memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai nilai-nilai positif yang ingin diterapkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pentadbiran kerajaan baharu di samping menyalurkan kelompok suara rakyat untuk didengari pemimpin negara. - Bernama