PETALING JAYA - Kehadiran hampir penuh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menunjukkan sokongan padu kepada pimpinan parti itu.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kehadiran semua kecuali dua ahli jelas menunjukkan sokongan tinggi terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
"Mesyuarat berjalan cukup baik dengan Presiden mempengerusikan juga dengan baik, hanya dua ahli tidak hadir iaitu Exco Kerajaan Negeri Perlis kerana menghadiri majlis di istana negeri.
"Kami bincangkan perkara penting dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selain perkara pokok lain yang dibawa dalam perbincangan malam ini," katanya ketika ditemui pemberita di di Ibu Pejabat Bersatu di sini pada Selasa.
Mesyuarat yang bermula sekitar jam 8.40 malam itu menyaksikan kehadiran Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ahli MPT, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Rosol Wahid.
Ditanya mengenai penyelesaian kemelut dalaman yang dihadapi, Ahmad Faizal meminta ahli berpegang teguh kepada Perlembagaan Parti.
"Jika semua ahli berpegang kepada Perlembagaan dan taat kepada pemimpin seperti yang dituntut agama kita, kalau ada perkara tidak disenangi ikut saluran parti dan sebagainya.
"Insya-ALLAH perkara tidak baik tidak akan berlaku," katanya.