'Kita bukan berperang, kita cuma berbeza pandangan – Azmin'

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan perbezaan pandangan antara kepimpinan parti tidak harus disalah tafsir sebagai perpecahan, sebaliknya menjadi kekuatan yang mengukuhkan perpaduan dalaman.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada malam Selasa menunjukkan kematangan kepimpinan parti dalam menangani isu berbangkit dengan penuh hemah dan semangat kekeluargaan.

“Tidaklah gencatan senjata, kita bukan berperang.

"Kita hanya memberikan pandangan, mungkin pandangan itu berbeza.

"Tetapi perbezaan pandangan itu memberikan kekuatan kepada parti supaya keputusan yang kita buat bersandarkan kepada kepelbagaian pandangan.

"Inilah kekuatan dalam Bersatu,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat MPT Bersatu di ibu pejabat parti di sini pada malam Selasa.

Menurut Azmin, segala isu dan kemelut dalaman akan diselesaikan secara harmoni melalui mekanisme yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

“Dalam mana-mana parti politik termasuk Bersatu, kita ada kaedah dan mekanisme untuk membincangkan apa-apa perkara yang berbangkit.

"Kita ada Perlembagaan parti, peraturan parti, Majlis Pimpinan Tertinggi, Lembaga Disiplin dan Lembaga Rayuan,” ujarnya.

Azmin turut menegaskan bahawa kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu terus mendapat keyakinan penuh daripada ahli dan pimpinan parti.

“Apa yang kita saksikan pada malam ini (Selasa) membuktikan kepimpinan Muhyiddin mampu menangani apa juga krisis dan perkara yang berbangkit dengan cukup berhemah.

"Ahli dan kepimpinan meletakkan keyakinan tinggi kepada beliau untuk membawa parti ke arah yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin berkata, Bersatu bersama parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) telah mencapai muafakat mengenai pembahagian kerusi serta calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

“Calon-calon dan kawasan yang akan diwakili PN akan diumumkan oleh Presiden pada 7 November ini di Sandakan, Insya-ALLAH,” tambahnya.