Lebih ramai tampil sokong PRN, PRU serentak

SHAH ALAM - Cadangan supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor mendapat reaksi positif daripada beberapa pemimpin politik pelbagai parti.

Di SEREMBAN, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, cadangan itu perlu dibincangkan dan diputuskan bersama oleh semua pimpinan parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan kesan besar terhadap landskap politik negara.

“Saya harap perkara ini dapat dibincangkan bersama semua presiden parti dalam kerajaan Perpaduan bagi memastikan keputusan itu tidak beri kesan besar kepada politik tanah air kerana ada pihak yang mahu ia diadakan serentak dan ada yang tidak bersetuju.

“Jadi, sebaiknya perkara ini dibincangkan terlebih dahulu,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri akur sekiranya pimpinan tertinggi kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengadakan pilihan raya serentak bagi Persekutuan dan negeri.

Di JOHOR BAHRU, Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Datuk Zulkifli Bujang berkata, PRN berasingan sebelum ini seperti di Melaka dan Johor menunjukkan kadar keluar mengundi yang rendah, maka penggabungan dengan PRU dilihat boleh meningkatkan peratusan pengundi serta memudahkan proses logistik.

“Pilihan raya serentak ini akan memudahkan gerak kerja parti dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terutamanya di negeri yang luas seperti Sarawak. Sebelum ini, amalan PRN dan PRU serentak adalah kebiasaan sebelum pandemik Covid-19 mengubah corak tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad pula menyifatkan langkah mengadakan pilihan raya serentak sebagai pendekatan pragmatik untuk memperkukuh kestabilan politik negara.

Katanya, pelaksanaan serentak bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan kos pentadbiran, malah menyelaras kerja antara SPR, agensi keselamatan serta jentera kerajaan negeri dan Persekutuan.

Dalam pada itu di SELANGOR, turut menyokong cadangan itu ialah Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Ng Suee Lim yang berpendapat, langkah itu dilihat lebih efisien bukan sahaja dari segi kewangan, malah dapat menjimatkan masa semua pihak termasuk pengundi dan pemimpin.

“Kalau (pilihan raya) dibuat berasingan memang boleh, sebab negeri ada hak masing-masing untuk bubar DUN (Dewan Undangan Negeri) bila-bila masa, tapi kalau dapat dibincang dan diadakan serentak, kita dapat jimat banyak,” katanya.

Di MELAKA, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, beliau tidak mempunyai halangan sama ada PRN diadakan serentak atau berasingan dengan PRU.

“Saya akur dengan keputusan parti. Kalau diadakan berasingan pun tidak mengapa dan jika diarahkan untuk diadakan serentak, kita juga bersedia. Kita terima apa saja keputusan,” katanya.

Untuk rekod, PRN Melaka terakhir diadakan pada 20 November 2021 selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 4 Oktober 2021.

PRN seterusnya dijangka diadakan pada tahun depan sama ada selepas tamat tempoh penggal lima tahun dari tarikh sidang pertama atau lebih awal jika dibubarkan Yang di-Pertua Negeri.

Pada Ahad lalu, DAP mencadangkan supaya PRU16 diadakan serentak dengan PRN Melaka, Sarawak dan Johor.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, langkah itu dilihat dapat menjimatkan kos dan memudahkan gerak kerja pilihan raya, khususnya bagi Sarawak yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

Pada Isnin pula, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz turut menyokong cadangan berkenaan kerana memudahkan pengurusan.