Hamzah hadir mesyuarat, elak bertemu media

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sah menghadiri mesyuarat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu pada malam Selasa.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Dewan Rakyat itu bergegas meninggalkan pekarangan Ibu Pejabat Bersatu di sini walaupun cuba didekati media.

Sebelum itu, Hamzah dilihat mesra bertegur sapa dengan bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof sejurus selepas mesyuarat parti selesai kira-kira jam 10.30 malam.

Kelibat Ahli Parlimen Larut itu menjadi tumpuan media dan ahli-ahli akar umbi Bersatu yang hadir memenuhi pekarangan ibu pejabat parti itu sejak jam 7 malam Selasa.

Hal ini susulan kemelut dalaman Bersatu semakin memuncak setelah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat daripada parti bersama lima ketua Bersatu bahagian, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian oleh Lembaga Disiplin parti minggu lalu.

Selain itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mendakwa sasaran Lembaga Disiplin Bersatu adalah untuk mengenakan tindakan terhadap Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ketua Pembangkang.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, ketika dipanggil Lembaga Disiplin sebelum ini, beliau ditanya mengenai peranan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Bekas Ketua Armada Bersatu itu turut menyasarkan kritikan terbuka terhadap Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan mendakwa pemimpin itu sebagai 'kuda trojan' Madani.