Kehadiran Tun M bantu lonjak sokongan kepada Anwar

PORT DICKSON - Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin gandingan bahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir esok dalam kempen PRK Parlimen Port Dickson mampu melonjakkan lagi sokongan kepada Presiden PKR itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu juga sesuatu yang positif kepada kempen Anwar.

“Alhamdulillah kita memang rasa bangga dan terharu kerana Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selalunya tidak datang kempen PRK namun dia pilih untuk datang ke Port Dickson untuk beri sokongan dan kempen kepada saudara Anwar,” katanya selepas hadir Karnival Mini Keluarga Bestari di Taman Intan Perdana, di sini.

Dr Mahathir dijadualkan hadir ke Port Dickson malam esok dan akan bergandingan semula dengan Anwar di atas satu pentas selepas 20 tahun.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lepas bagi memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Hari mengundi ditetapkan pada 13 Oktober manakala pengundian awal 9 Oktober ini.

Parlimen Port Dickson memiliki 75, 770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus). - Bernama               

Anwar IbrahimPRK Port Dickson Negeri Sembilan

Berita Popular

Video Popular