'Bukan bubar parti, rombak kepimpinan sahaja'

PORT DICKSON - Bersatu Negeri Sembilan menafikan bahawa parti di negeri itu telah dibubar, sebaliknya ia hanya melibatkan rombakan kepimpinan sahaja.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya, berkata tuduhan Bersatu Negeri Sembilan dibubar itu adalah silap.

"Sebenarnya kita hanya rombak pimpinan parti sahaja.

"Kita telah susun kembali parti kita yang diketuai Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim dan Timbalannya, Eddin Syazlee Shith," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Bersatu, di Kampung Paya, di sini, malam tadi.

Ketika ditanya mengapa rombakan dibuat, Marzuki menjelaskan ia melibatkan pergolakan dalaman dan perebutan jawatan oleh segelintir ahli parti itu sendiri.

Namun, isu itu berjaya diselesaikan dengan baik dan pengumuman penuh akan dibuat oleh pucuk pimpinan negeri.

"Semua isu ini kita telah selesaikan, selepas PRK Port Dickson ini nanti, senarai penuh pimpinan negeri akan diumumkan," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN : Bubar Bersatu Negeri Sembilan tak jejas kempen PRK]

[ARTIKEL BERKAITAN : Bersatu N9 dibubarkan kerana banyak masalah]

27 September lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pembubaran itu yang mana tertakluk dalam perlembagaan parti setelah peraturan pembubaran badan pimpinan negeri, bahagian dan cawangan diluluskan.

Jelas Muhyiddin, Bersatu Negeri Sembilan ada banyak masalah dan terdapat isu perlembagaan apabila mahu buat pertukaran, jadi Pendaftar Pertubuhan (RoS) tetapkan untuk bubarkan pimpinan negeri.

PRK Port Dickson Negeri Sembilan

Berita Popular

Video Popular