KOTA BHARU – Isu pertembungan antara golongan ulama dan profesional dalam Pas disifatkan sebagai naratif lapuk yang tidak lagi relevan untuk dibangkitkan dalam konteks politik semasa.
Ketua Penerangan Pas Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, perkara itu telah lama diselesaikan, dan cubaan menghangatkannya semula hanya akan mengganggu fokus parti terhadap agenda yang lebih besar.
“Pas tidak membezakan antara profesional dan ulama. Kenapa timbul semula isu lapuk zaman 60-an?
“Dasar Pas adalah kepimpinan ulama, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang lama dalam parti, terutamanya dalam kalangan ulama seperti Presiden sekarang yang memiliki pengalaman luas. Jadi kenapa perlu ditukar? Tidak perlulah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Mesra Kaum anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina di sini pada Isnin.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Mohd Asri yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat menegaskan bahawa di peringkat Dewan Ulama sendiri, isu tersebut tidak pernah dibangkitkan.
Malah, kepimpinan parti terbukti meraikan penyertaan profesional dalam pentadbiran di pelbagai peringkat, termasuk pemilihan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
Menurutnya, Pas Kelantan turut mencatat sejarah apabila menampilkan barisan calon profesional paling ramai, termasuk tujuh calon berlatar belakang bidang perundangan.
“Belum pernah sebelum ini kami meletakkan sehingga tujuh orang peguam sebagai calon. Itu belum termasuk profesional dalam bidang lain.
“Jadi, tidak timbul langsung dakwaan kononnya Pas mengabaikan golongan profesional,” katanya.
Jelas beliau yang juga Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Kelantan, penyertaan golongan profesional dalam Pas tidak bercanggah dengan dasar kepimpinan ulama, sebaliknya memperkukuh keupayaan teknokrat parti, khususnya dalam pentadbiran negeri.
“Kita sendiri dalam pentadbiran memerlukan teknokrat. Bukan semua perlu ustaz.
“Kalau melibatkan bidang kejuruteraan, kita cari yang pakar. Tidak timbul soal dia bukan ulama,” katanya lagi.