Anwar langgar Akta Kesalahan Pilihan Raya, kata Stevie

PORT DICKSON - Calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong membuat laporan polis kerana mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melanggari Akta Pilihan Raya 1954.

Menurutnya, pada 30 September lalu, dalam ceramah di Sri Tanjung, calon PH iaitu Anwar memberitahu hadirin bahawa sudah mendapatkan tiga program untuk rakyat Port Dickson.

"Iaitu projek pelancongan lima bintang, program latihan penerbangan dan program pendidikan.

"Perkara ini telah disahkan semasa sidang akhbar yang dimuat naik Astro Awani pada 1 Oktober lepas serta dilaporkan secara meluas dalam media lain," katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, hari ini.

 

Stevie Chan berkata, kemudian pada Khamis lalu pula, Anwar juga telah melancarkan program tuisyen dalam talian percuma untuk pelajar tingkatan satu hingga lima.

Katanya, laman web, pdtuition.com dengan jelas menyatakan bahawa ia ditaja oleh Anwar, malah dilaporkan secara meluas dalam akhbar.

"Dengan memaklumkan kepada pengundi tentang program atau projek yang diperoleh selain menaja tuisyen kepada pelajar di Port Dickson secara percuma, saya percaya itu adalah salah.

"Anwar telah melanggar Seksyen 10(a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya1954 yang berkaitan dengan penyogokan," katanya.

 

Stevie ChanPRK Port Dickson Negeri Sembilan