Sembilan Ahli Parlimen PKR mesti bertanggungjawab jika kerajaan Madani tumbang – Hassan

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Tindakan sembilan Ahli Parlimen PKR yang diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kehakiman dilihat sebagai petanda bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, jika RCI itu dibentuk kelak, Anwar selaku Perdana Menteri yang mempunyai kuasa perlembagaan dalam pelantikan hakim tidak dapat mengelak daripada disiasat.

“Anwar menjadi suspek utama yang mesti disiasat oleh RCI. Ini adalah implikasi daripada tuntutan sembilan Ahli Parlimen PKR sendiri.

“Tanpa persetujuan Perdana Menteri dan Kabinet, tuntutan mereka ini hanya akan terus memburukkan imej Anwar serta kerajaan pimpinannya. Sembilan Ahli Parlimen PKR ini sebenarnya meletakkan tengkuk Anwar di bawah 'guillotine', seperti dalam Revolusi Perancis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Hassan bagaimanapun mengakui isu kehakiman yang dibangkitkan kumpulan berkenaan adalah sah, bermerit dan kini menjadi 'elephant in the room' atau rahsia terbuka yang tidak boleh diabaikan.

“Tindakan mereka progresif, radikal dan popular dalam kalangan rakyat. Tetapi adakah sembilan Ahli Parlimen PKR ini bersedia jika tindakan mereka mengakibatkan Anwar tumbang?

"Jika ya, maka jelas sedang berlaku pemberontakan dalam PKR sendiri,” katanya.

Menurut beliau, tindakan sembilan Ahli Parlimen PKR itu, walaupun menjadi contoh demokrasi Parlimen yang baik, namun dari segi politik parti, ia adalah satu bentuk penentangan langsung terhadap Presiden PKR yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Anwar kini berada dalam keadaan defensif, kerajaan Madani semakin lemah dan integritinya tercalar dengan isu kehakiman ini. Adakah mereka sudah memikirkan dengan mendalam kepentingan jangka panjang negara, cita-cita reformasi dan perjuangan politik PKR, bukan sekadar kelangsungan politik seorang Anwar?.

“Jika benar, maka tindakan sembilan Ahli Parlimen PKR ini adalah cabaran paling serius, sengit dan berani daripada Ahli Parlimen senior PKR sendiri terhadap kepimpinan Anwar,” katanya.

Hassan juga melihat perkembangan itu menunjukkan ramai pemimpin PKR, khususnya Ahli Parlimen, sudah hilang sabar dan keyakinan kerana melihat kerajaan Madani terlalu banyak berkompromi sehingga wujud unsur hipokrasi dalam banyak perkara.

“Apabila Anwar pulang dari lawatan luar negara, tugas utama beliau ialah menangani tuntutan sembilan Ahli Parlimen ini dengan bijaksana. Ini bukan isu kecil, tetapi sangat serius, ibarat buku bertemu ruas dalam partinya sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Hassan menegaskan bahawa beliau masih yakin terhadap kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri dan akan terus mempertahankan kerajaan Madani.

Pada Isnin, sembilan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007 yang membabitkan cubaan mempengaruhi pelantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.

Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik; dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dua lagi Ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.