KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkuat kuasa hari ini.
Upacara angkat sumpah pelantikan beliau berlangsung di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Bangunan Parlimen Malaysia pada Selasa.
Sivamalar dalam kenyataan berkata, pelantikan itu merupakan satu amanah besar untuk membantu Zaliha melaksanakan agenda reformasi dan dasar Kerajaan MADANI, khususnya bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat di Wilayah Persekutuan.
“Sebagai seorang aktivis dan peguam sebelum menyertai pentadbiran kerajaan, saya melihat pelantikan ini sebagai satu tanggungjawab besar untuk terus menyumbang kepada usaha memperkukuh dasar MADANI demi manfaat rakyat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu fasa penting dalam perjalanan kariernya yang bermula di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, kemudian di Kementerian Kesihatan, sebelum berkhidmat di Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Ia bukan perjalanan yang mudah, namun setiap fasa memberi peluang untuk belajar, berkembang dan menyumbang kepada pentadbiran negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sivamalar menzahirkan penghargaan kepada Zaliha atas kepercayaan yang diberikan untuk menggalas peranan penting itu dan beriltizam melaksanakannya dengan penuh integriti serta dedikasi.
“Dengan rendah hati saya memohon doa dan sokongan semua rakan seperjuangan agar perjalanan ini sentiasa dipermudahkan dan dirahmati Tuhan,” katanya.