KUALA LUMPUR - Cadangan pihak Perikatan Nasional (PN) mahu memberi bantuan tunai sebanyak RM6,000 atau RM500 sebulan kepada rakyat disifatkan sebagai tidak berasas dan retorik, menurut Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata, PN yang mentadbir kerajaan sebelum ini berpeluang melaksanakan perkara tersebut, namun tidak berbuat demikian.
"Rakyat perlu berhati-hati dengan kenyataan sedemikian dan bersikap realistik terhadap kemampuan kewangan negara.
"Ketika beliau (Hamzah Zainudin) mempunyai kuasa, perkara itu tidak dilaksanakan. Sekarang apabila sudah tiada kuasa, barulah kenyataan seperti ini dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Muda ASEAN ke-10 di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (Matrade) di sini pada Rabu.
Beliau menjawab dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang bercadang memperkenalkan semula Bantuan Prihatin Nasional (BPN) hingga RM6,000 setahun kepada isi rumah memerlukan di Dewan Rakyat, semalam.
Muhammad Kamil menjelaskan bantuan diberikan semasa pemerintahan PN bukanlah sepenuhnya menggunakan peruntukan kerajaan, sebaliknya sebahagian daripadanya datang daripada dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Jumlah bantuan tunai yang disalurkan kerajaan kini jauh lebih tinggi berbanding dua hingga tiga tahun lepas.
"Sebagai contoh, BPN sebelum ini menawarkan bantuan maksimum RM2,000, manakala Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kini membolehkan isi rumah menerima hingga RM4,600,” katanya. - Bernama