Tun M makan ubat RM5,000 sehari untuk tenaga?

RATA-RATA insan biasa macam kita ini akan mudah merasa letih terutama apabila kerja dalam tempoh yang lama.

Sebagai contoh kerja melebih 12 jam sehari selama tiga atau empat hari berturut-turut, bagi sesetengah orang pada hari keempat badan dan minda kita akan mula penat.

Begitu juga jika kita terpaksa travel dengan kenderaan yang jaraknya jauh dan selepas itu terpaksa melalui jadual aktiviti yang padat.

Apabila badan kita letih maka ia akan mempengaruhi kesihatan. Terutama bagi golongan yang mudah mendapat migrain ataupun rasa kurang bertenaga.

Jadi, bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) dapat mengekalkan stamina tatkala mengharungi jadual yang padat terutama ketika tempoh berkempen pada PRU14 ini?

Mengimbas kembali soalan seorang wanita kepada Tun M di sebuah pasar raya seperti yang diceritakan dalam Memoir Doktor Umum.

Wanita berkenaan bertanya adakah benar Tun M makan ubat berharga RM5,000 sehari untuk kekal bertenaga dan awet muda. Kata Tun M dalam buku berkenaan, ramai juga yang pergi ke farmasi di mana beliau membeli vitamin untuk mengetahui suplemen yang diambilnya.

Menurut Tun M, tidak wujud ramuan khas untuk bertenaga, beliau mengamalkan beberapa petua kesihatan yang mudah tetapi sukar untuk dilakukan.

Kata pemimpin berusia 92 tahun itu, beliau konsisten amalan makan secara sederhana, senaman ringkas, menunggang kuda, tidur enam jam waktu malam dan 15 minit waktu siang serta tabiat berjalan seperti orang berkawad.

Seorang individu yang rapat dengan Tun M - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahaya berkata, sepanjang bersama dan mengiringi Tun M ke setiap program, tenaga dan kesihatan bekas Perdana Menteri itu cukup luar biasa.

“Saya tengok kalau Tun M naik dan turun tangga pentas ceramah memang steady, tak macam orang umur 92 tahun.

“Berdiri dan berucap berjam-jam dengan tegas dan lancar. Boleh ikut program dari pagi sampai malam untuk kempen dengan penuh semangat walaupun sebelum ini beberapa kali jalani pembedahan jantung,”katanya.

Kata beliau, semua itu anugerah ALLAH dan rakyat negara ini cukup bertuah mempunyai seorang pejuang yang mempunyai semangat luar biasa untuk menyelamatkan Malaysia.

“Mempersendakan kesihatan Tun adalah tidak wajar kerana ajal dan maut di tangan Maha Pencipta. Kadangkala yang muda dan sihat walafiat lebih awal mati,”katanya.

Semalam, ketika berceramah di kawasan lapang berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, Tun M berucap hampir sejam di hadapan ribuan penyokong Pakatan Harapan.

Walaupun sebelum itu beliau mengharungi jadual yang padat dengan program di Pekan, Pahang dan kemudiannya ceramah di PPR Kerinchi Pantai Dalam, Tun M masih berkobar-kobar untuk berucap.

Namun, ketika berdiri di atas pentas sementara menanti calon Harapan bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat habis berucap, Tun M batuk dan kelihatan agak keletihan.

Tun M juga batuk ketika berucap namun tidak menghalang beliau untuk menghentikan ceramahnya. Sorakan penyokong Harapan dengan laungan 'Hidup Tun!' juga seperti memberi suntikan semangat kepada Tun M untuk terus berdiri dan berucap.

Datin Paduka Marina Mahathir ketika diajukan soalan mengenai kesihatan bapanya berkata, walaupun kadang-kadang batuk ketika berucap, ayahnya amat sihat.

"Tapi kalau melihat jadual kempen beliau yang amat ketat-Desa Pandan, Kuantan, KL/Putrajaya, Melaka, Alor Setar, Kota Bharu, dan banyak lagi, siapa yang tak letih?

"Sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, beliau terpaksa menjelajah ke seluruh negara, bukan kawasannya sahaja. 

"...Dan berucap berulang kali, berjumpa beribu orang, tidur lambat, bangun awal setiap hari, siapa tak sakit. Hujan lagi! Saya sendiri berucap di ceramah tiap-tiap malam pun, dah penat, apatah lagi ayah saya yang berumur 92 tahun? Orang yang suka mengata tu patut cuba ikut, tahan ke tidak?

Dan hari ini semasa sidang media bersama Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Yayasan Kepimpinan Perdana, Tun M mengakui kempen pada PRU14 ini menjejaskan kesihatannya.

Namun, sambil tersenyum Tun M berkata, batuknya akan berhenti apabila berkempen ke seluruh negara.

Mahathir MohamadPakatan Harapan
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :