Mahathir Mohamad

Maklumat Diri
Asal
Alor Star, Kedah Darul Aman
Tarikh lahir
10/7/1925
Pasangan
Tun Dr Siti Hasmah binti Mohamad Ali
Anak
Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura, Mazhar

Tun Dr Mahathir Mohamad dilahirkan pada 10 Julai 1925 atau juga dikenali sebagai Tun M ialah seorang doktor dan ahli politik yang amat disegani.

Beliau merupakan bekas Perdana Menteri ketujuh sehingga meletak jawatan pada 2020 dan juga sebagai Ahli Parlimen Langkawi di Kedah. 

Anak jati Seberang Perak, Alor Setar mencipta sejarah tersendiri setelah dilantik perdana menteri sebanyak dua kali dan kali pertama ialah selama 22 tahun (1981-2003) sekali gus pemimpin paling lama berkhidmat.

Ibu bapa beliau ialah Mohamad Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanafi. Dr Mahathir adalah anak bongsu daripada sembilan beradik.

Dalam buku A Doctor in the House, Perdana Menteri keempat juga menyatakan tarikh lahir sebenarnya ialah 10 Julai 1925, tetapi bapanya mendaftarkan tarikh lahir dalam sijil kelahiran sebagai 20 Disember untuk memudahkan urusan pendaftaran persekolahan. 

Menggunakan nama timangannya sendiri, 'Che Det' sebagai nama pena, beliau banyak menulis dengan artikel pertamanya disiarkan oleh akhbar The Straits Times Singapura pada 20 Julai, 1947 bertajuk “Malay Women Make Their Own Freedom” (Wanita Melayu Mencipta Kebebasan Sendiri).

Semasa pentadbirannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau berjaya membawa pembangunan melalui dasar-dasar dan perancangan yang diilhamkan daripada kejayaan negara-negara luar sehingga mengangkat Malaysia ke pentas dunia sebagai salah sebuah negara yang berdaya maju di Asia Tenggara.

Malah dikenali sebagai “Bapa Pemodenan” di atas kejayaan beliau menukarkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden.

Usaha beliau yang paling diingati masyarakat Malaysia dan antarabangsa adalah ketika membawa Malaysia keluar dari Krisis Kewangan Asia 1997 bila mana beliau telah menolak cadangan dan juga dana bantuan daripada IMF yang beliau sifatkan akan memburukkan lagi krisis. Langkah-langkah radikal yang diambil dikritik hebat ketika itu oleh banyak pihak termasuk IMF sendiri.

Beliau merupakan seorang tokoh politik yang bersifat vokal berhubung isu-isu antarabangsa sehingga ada yang mencetuskan kontroversi. Beliau menyokong "Sistem Ekonomi Pasaran" terkawal sebagai alternatif kepada Sistem Ekonomi Persendirian dan secara amnya menolak 'Pasaran Bebas'.

Selain itu, antara projek-projek berprofil tinggi juga digelar projek mega yang dibangunkan pada zaman pentadbiran beliau termasuk Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang.

Bersara pada Oktober 2003, Dr Mahathir dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun. 

Tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri menjadikan beliau sebagai pemimpin ketiga paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara selepas Perdana Menteri Singapura pertama, Lee Kuan Yew dan Presiden Suharto dari Indonesia. Beliau juga berkhidmat sebagai Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) dari tahun 2004 hingga 2016.

Meskipun telah bersara, beliau masih lagi lantang bersuara dan mengkritik penggantinya yang dipilihnya iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2006 dan kemudiannya, Datuk Seri Najib Razak pada 2015.

Beliau memberi kejutan selepas keluar UMNO pada 29 Februari 2016 selepas parti keramat itu memberi sokongan terhadap tindakan Perdana Menteri Najib Razak yang dikaitkan dengan isu RM2.6bil dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 9 September 2016, Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah memberikan kelulusan terakhirnya untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru menjadikannya parti politik rasmi.
 
Mahathir menjadi pengerusi parti itu dan pada 8 Januari 2018, Mahathir diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan dan bakal dilantik Perdana Menteri untuk pilihan raya 2018, dalam rancangan untuk mengampuni Anwar Ibrahim dan menyerahkan peranan kepadanya jika berjaya.

Bagaimanapun selepas perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari selepas 21 bulan mentadbir negara, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilantik Perdana Menteri kelapan.

Kemudian pada Mei 2020, beliau digugurkan keahlian Bersatu dan menubuhkan parti baharu iaitu Parti Perjuang Tanah Air (Pejuang) pada Ogos 2020 malah melantik dirinya sebagai Pengerusi Pejuang manakala presiden, ialah anaknya, Datuk Seri Mukhriz.

Pencapaian
Kerjaya:
  • MAHA Klinik (dimiliki) Jalan Sultan Badlishah (1957-kini)
  • Pegawai perubatan di Alor Setar (1954-1957)

Jawatan disandang dalam kabinet;

  • Perdana Menteri ketujuh (2018-2020)
  • Perdana Menteri Malaysia keempat (1981-2003)
  • Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-tugas Khas (2001) 
  • Menteri Kewangan Pertama (1999)
  • Menjadi Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri (1990-1999)
  • Menteri Pertahanan (1981-1986) 
  • Menteri Perdagangan dan Perindustrian Malaysia (1978-1981)
  • Menteri Pelajaran (1974)
  • Senator (1973)
  • Ahli Parlimen Kota Setar (1964)

Jawatan disandang dalam politik;

  • Pengerusi Pejuang (2020-kini)
  • Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (2016-2020)
  • Presiden UMNO (1981)
  • Timbalan Perdana Menteri Malaysia (1978)
  • Timbalan Presiden UMNO (1976)
  • Naib Presiden UMNO (1975)
  • Majlis Tertinggi UMNO (1965)
Pendidikan:
  • Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, Universiti Malaya
  • Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura
  • Goverment English School, Alor Setar
  • Sekolah Melayu, Seberang Perak, Alor Setar
Penglibatan Politik
Manifesto:
Parti Gabungan: Pakatan Harapan
Parti: PPBM/BERSATU
Pilihan Raya Umum Terbaru: PRU14

Kerusi Bertanding PARLIMEN:
  • PRU14- P4 Langkawi

Kerusi Bertanding DUN: Tiada

Video Berkaitan Mahathir Mohamad