pru14 bukan masa bergembira

KUALA LIPIS - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan PRU14 ini bukan tempoh rakyat bersuka ria, tetapi merupakan waktu penting mereka menilai dan memilih sebuah kerajaan di peringkat pusat dan negeri bagi mewakili suara mereka.

Najib yang juga pengerusi BN berkata, dalam hal ini sebuah kerajaan kuat adalah penting agar pentadbiran negara dapat diteruskan tanpa apa-apa gangguan.

“Bila ada PRU bukan soal nak suka-suka, masa ini kita nak pesta lawan bendera ke apa ke.

“Jangan lupa matlamat kita untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri dan nasional,” katanya sebelum merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat di Sungai Koyan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Amer Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jelai.

Turut hadir, calon BN Parlimen Cameron Highlands Datuk C. Sivarraajh dan Dun Tanah Rata Leong Tack Mun.

Dalam hal ini, Najib yang juga calon BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pekan menarik perhatian bahawa BN berbanding pembangkang mempunyai perikatan yang kuat dengan parti-parti komponen itu yang mampu membentuk sebuah kerajaan yang kuat bagi menjaga kebajikan semua kaum di negara ini.

"Kalau harapkan Umno sahaja tak boleh tubuh kerajaan tetapi dengan ada rakan-rakan kita parti di Sabah dan Sarawak.. dan di sini, MCA, MIC dan Gerakan boleh sumbang pada (menangi) kerusi-kerusi pada PRU.

“Saya tak lupa juga kepada MyPPP, kita dalam keluarga BN,  tuan-tuan  ingat dalam apa jua keadaan, kalau kita nak minta tolong kita boleh minta tolong daripada kerajaan orang lain, jangan harap ketuk pintu pun dia takkan buka," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan projek pembinaan Pusat Giat Mara baharu di Sungai Koyan, dan sebuah masjid baharu bagi menggantikan masjid sedia ada di Tanjung Gahai, masing-masing bernilai RM3 juta. - Bernama

Mohd Najib Abdul Razak