SHAH ALAM - Pemuda UMNO mempersoal tindakan kerajaan mengambil pendirian untuk mengekalkan amalan membenarkan minuman beralkohol dihidangkan bagi acara awam yang diadakan di dalam kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, isu pemandu mabuk yang masih berulang hingga kini sepatutnya menjadi pengajaran penting kepada semua pihak agar langkah pencegahan dan pendidikan mengenai bahaya minuman keras diperkasakan, bukannya memberi ruang kepada budaya itu di sekolah.
Tegas Dr Muhamad Akmal, pihaknya juga menyokong pendirian asal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa institusi pendidikan tidak seharusnya dibenarkan menjadi tempat minum arak oleh mana-mana pihak.
"Saya juga minta, jika pihak kerajaan boleh nyatakan alasan kenapa pendirian asal PMX tidak diguna pakai?
"Adakah pihak kerajaan menganggap bahawa minuman keras itu boleh mendatangkan kebaikan kepada rakyat baik dari segi kesihatan mahupun sosial? Jika ada, maka boleh nyatakan juga, mungkin rakyat selama ini tidak sedar akan kebaikan minuman keras kot," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Sabtu.
Khamis lalu, Anwar menyatakan beliau lebih suka alkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah, namun mengakui kerajaan mempunyai kekangan ke atas institusi pendidikan yang dikendalikan oleh pihak swasta.
Kenyataan beliau itu bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati beberapa pihak termasuk Penasihat DAP, Lim Guan Eng.
Susulan itu, Kabinet pada Jumaat memutuskan untuk mengekalkan peraturan dan garis panduan sedia ada mengenai penghidangan minuman beralkohol di dewan sekolah Cina.
Ketetapan itu bermakna minuman beralkohol boleh terus dihidangkan apabila dewan di sekolah Cina persendirian itu disewakan kepada orang ramai untuk acara yang tidak melibatkan pelajar.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal turut menyelar tindakan kerajaan yang dilihat 'tunduk' dengan desakan pihak tertentu.
"Jangan disebabkan takut hilang undi,maka kita buat keputusan yang salah untuk generasi masa hadapan," katanya.