Pas Wilayah Persekutuan bantah penyajian arak di sekolah, institusi pendidikan

KUALA LUMPUR – Pas Wilayah Persekutuan menzahirkan bantahan keras terhadap kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang menyatakan penyajian arak di dewan sekolah adalah mengikut “garis panduan amalan sedia ada”.

Pesuruhjayanya, Azhar Yahya berkata, kenyataan itu amat tidak wajar dan tidak sensitif terhadap nilai moral, agama serta budaya rakyat Malaysia yang secara jelas menolak normalisasi arak di mana-mana ruang awam, apatah lagi di premis pendidikan.

Beliau menegaskan, arak bukan sahaja diharamkan dalam Islam malah turut ditolak oleh ajaran dan nilai moral hampir semua agama di dunia.

Ujarnya, tindakan menyajikan atau menormalisasikan arak dalam mana-mana majlis rasmi di sekolah jelas melanggar batas adab serta mencemar kesucian institusi pendidikan.

“Sekolah seharusnya menjadi tempat memupuk akhlak, bukan medan meraikan budaya yang bertentangan dengan ajaran agama dan nilai masyarakat timur,” ujarnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Azhar turut menyuarakan kebimbangan terhadap sikap berdiam diri Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam isu itu yang disifatkan seolah-olah menggambarkan ketandusan nilai moral dan keagamaan dalam dasar pendidikan semasa.

Beliau menggesa garis panduan rasmi berkaitan penggunaan premis sekolah dikaji semula bagi memastikan tiada sebarang aktiviti yang melibatkan arak, judi, hiburan melampau atau unsur yang bercanggah dengan nilai agama dan moral masyarakat Malaysia.

“Kerajaan tidak boleh berlindung di sebalik alasan ‘amalan sedia ada’. Malaysia bukan negara sekular mutlak, nilai agama mesti dijunjung dalam setiap dasar, terutamanya yang berkaitan dengan institusi pendidikan,” tegasnya.

Menurut Azhar, pendidikan mesti menjadi benteng utama dalam pembentukan akhlak dan moral pelajar, justeru sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menjejaskan imej moral sekolah mesti ditolak sama sekali.

“Bangsa yang rosak akhlaknya tidak akan mampu mempertahankan maruah dan masa depannya,” ujarnya.

Pas Wilayah Persekutuan menuntut kerajaan dan KPM menarik balik sebarang kebenaran atau kelonggaran yang membenarkan penyajian arak di mana-mana institusi pendidikan serta memperketatkan garis panduan agar selari dengan nilai agama dan budaya Malaysia.