SHAH ALAM – Pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan atau perbincangan dengan mana-mana pihak yang telah dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin parti itu.
Perkara tersebut berdasarkan arahan dalaman yang dilihat Sinar Harian menerusi surat pekeliling Setiausaha Agung Bilangan 3 Tahun 2025 yang ditandatangani Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Sabtu.
Menurut surat itu, setiap ahli mempunyai tanggungjawab mendukung matlamat dan tujuan parti, selain melaksanakan dasar-dasar parti selaras dengan Fasal 9.1 Perlembagaan Bersatu. Fasal 9.1.4 turut menegaskan pematuhan terhadap Perlembagaan Parti serta Peraturan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Mereka yang telah dijatuhkan hukuman sewajarnya menggunakan peruntukan selaras dengan Fasal 22.6 Perlembagaan Parti untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan, dan tidak bertindak di luar batas-batas Perlembagaan Parti.
“Fasal 22.1(d) mewajibkan ahli-ahli Bersatu mematuhi dan menghormati keputusan-keputusan parti, termasuk keputusan Lembaga Disiplin dan Lembaga Rayuan,” katanya.
Tambah pekeliling itu, menjadi satu kesalahan jika mana-mana ahli parti bersubahat dengan pihak luar termasuk mereka yang telah dijatuhkan hukuman, untuk menghasut ahli-ahli parti atau membuat kenyataan yang mencemarkan nama baik serta maruah parti kerana perbuatan itu bercanggah dengan Fasal 22.1(f).
“Tindakan mana-mana ahli parti yang bersekongkol dan menyokong segelintir individu yang telah dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin adalah nyata melanggar Perlembagaan dan Tatakelakuan Ahli Parti.
“Badan Pimpinan Negeri bertanggungjawab memantau dan mengingatkan ahli-ahli parti di semua peringkat supaya mematuhi Perlembagaan Parti serta Peraturan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti.
“Sebarang kesalahan, salah laku atau pelanggaran peruntukan Perlembagaan Parti oleh mana-mana ahli akan dikenakan tindakan tegas seperti yang termaktub dalam Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu,” katanya.
Minggu lalu, Lembaga Disiplin Bersatu telah memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menggantung keahlian selama satu penggal Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berhubung isu Akuan Bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.
Tindakan pemecatan keahlian turut dikenakan ke atas empat lagi ketua bahagian parti. Mereka yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman, bagaimanapun berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.