Melayu cenderung keluar undi

SHAH ALAM - Perbezaan kadar keluar mengundi mengikut kaum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 menunjukkan perubahan ketara dalam corak penyertaan pengundi antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu dengan jurang hampir 20 peratus.

Berdasarkan ElectionData.my anggaran kadar keluar mengundi kaum Melayu mencatatkan peratusan kehadiran paling tinggi iaitu 78 peratus, berbanding pengundi Cina sebanyak 58.8 peratus dan India 58 peratus.

Mengulas dapatan itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, kadar itu membuktikan golongan Melayu khususnya dalam PRN Melaka merupakan referendum yang menyambut baik penyatuan kaum dibawa oleh dua parti iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, berbeza dengan kaum Cina yang masih kekal menyokong Pakatan Harapan (PH) namun mengambil keputusan tidak keluar mengundi kerana terkepung dengan gelombang biru.

"Oleh itu mereka dari segi moral dilihat tidak mempunyai keterujaan tinggi untuk keluar mengundi kerana sedia maklum tiada sebarang perubahan jika mereka membuang undi pada PRN kali ini.

"Keadaan hampir sama turut berlaku dalam kalangan pengundi India yang sebelum ini cenderung menyokong PH, namun sebahagiannya dilihat mula hilang keyakinan," katanya.

Beliau berkata, penyatuan BN dan PN memberikan kelebihan berbanding PRN terdahulu apabila undi Melayu tidak lagi berpecah kepada tiga blok politik utama.

"Apabila undi Melayu yang sebelum ini terpecah tiga antara BN, PN dan PH kini tertumpu kepada dua gabungan, keadaan itu menjadikan PH berdepan cabaran lebih besar untuk memberikan saingan di kawasan majoriti Melayu. Ini kerana, kaum sememangnya menjadi faktor penting kepada pemilihan sesebuah parti," katanya.

Menyentuh pengundi muda Hisommudin berkata, golongan itu terpecah kepada tiga segmen iaitu 18 hingga 25 tahun, 26 hingga 30 tahun dan, 31 hingga 39 tahun.

"Kelompok berusia 18 hingga 25 tahun merupakan segmen yang masih belum mempunyai pegangan politik kepartian kukuh.

"Golongan itu lebih cenderung menilai pelbagai faktor termasuk calon, parti, manifesto dan kempen sebelum buat keputusan," katanya.

Bagi kelompok berusia 26 hingga 30 tahun pula menurutnya, mereka berdepan pelbagai tekanan kehidupan termasuk ketidakstabilan pekerjaan, pendapatan dan kos sara hidup sehingga menjadikan media sosial sebagai ruang meluahkan rasa tidak puas hati.

"Sementara itu, pengundi berusia 31 hingga 39 tahun dilihat lebih stabil dari segi kehidupan dan cenderung membuat keputusan politik lebih awal berbanding kelompok lebih muda yang sebahagiannya masih belum menentukan pilihan sehingga saat akhir," katanya.

Mengulas mengenai perspektif politik, Hisommudin memberitahu, pola pengundian PRN Melaka kali ini berbeza berbanding PRN 2021 dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), khususnya selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Bagaimanapun tambahnya, penyatuan BN dan PN pada PRN kali ini mengubah landskap persaingan apabila undi penyokong kedua-dua gabungan tersebut kini berada dalam satu blok, berbeza dengan persaingan tiga penjuru sebelum ini.