PUTRAJAYA – Prestasi kurang memberangsangkan Pakatan Harapan (PH) dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) menjadi amaran serius kepada gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, khususnya risiko kehilangan lebih banyak kerusi marginal di kawasan campuran dan majoriti Melayu.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keputusan pilihan raya di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menunjukkan PH berdepan cabaran besar mengekalkan sokongan pengundi Melayu, golongan muda serta pengundi atas pagar.
Menurut beliau, keputusan itu juga memberi gambaran bahawa kedudukan PH sebagai peneraju Kerajaan Persekutuan tidak semestinya menjadi kelebihan dalam PRN.
Sebaliknya, pengundi semakin menilai prestasi kerajaan berdasarkan kemampuan menangani kos sara hidup, kesejahteraan ekonomi, keberkesanan pentadbiran serta sejauh mana janji politik diterjemahkan kepada manfaat kepada rakyat.
"PH perlu melihat keputusan ketiga-tiga PRN ini sebagai suatu pola amaran, bukan sekadar kekalahan yang bersifat setempat.
"Sekiranya trend ini berterusan, PH berisiko kehilangan lebih banyak kerusi marginal pada PRU16 khususnya di kawasan campuran dan kawasan majoriti Melayu," katanya.
PRN Melaka ke-16 pada Sabtu lalu menyaksikan BN mengekalkan penguasaan apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) menerusi parti gabungannya, DAP memperoleh empat kerusi dan PN pula, tiga kerusi.
Keputusan itu turut membolehkan gabungan BN-PN menguasai 24 kerusi, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri Melaka.
Mengulas lanjut mengenai prestasi, Mohammad Tawfik berkata, PH hanya memenangi lapan daripada 56 kerusi di Johor, 11 daripada 36 kerusi di Negeri Sembilan dan empat daripada 28 kerusi di Melaka.
Lebih membimbangkan katanya, kesemua empat kerusi PH di Melaka dimenangi DAP, manakala PKR dan Amanah gagal memenangi sebarang kerusi.
Situasi itu memperlihatkan cabaran yang perlu ditangani PH, khususnya dalam usaha memperkukuh sokongan terhadap parti-parti komponennya menjelang PRU16 yang berkemungkinan berlangsung pada 2027.
Dalam pada itu, Mohammad Tawfik berpandangan PH perlu mengambil serius kemungkinan kehilangan sokongan pengundi tradisional sekiranya trend kemerosotan tersebut berterusan.
Beliau berkata, gabungan itu perlu memberi tumpuan kepada usaha memulihkan keyakinan rakyat menerusi penyelesaian isu kos sara hidup, peningkatan pendapatan dan penyediaan peluang pekerjaan berkualiti.
"PH juga perlu merombak strategi politik serta jentera pilihan raya, khususnya selepas keputusan tiga PRN menunjukkan pendekatan sedia ada kurang berkesan," jelas beliau.
Menurutnya, usaha memperkukuh sokongan pengundi Melayu dan anak muda juga perlu dilakukan menerusi pendekatan lebih dekat dengan masyarakat, bukan sekadar bergantung kepada naratif reformasi dan pencapaian kerajaan.
"PH turut perlu memastikan dasar serta pencapaian ekonomi kerajaan benar-benar dirasai rakyat dalam kehidupan seharian bagi mengembalikan keyakinan pengundi menjelang PRU16," katanya.
Sementara itu, Mohammad Tawfik menjangkakan desakan supaya PRU16 diadakan lebih awal akan semakin kuat susulan kemenangan BN dan PN di Melaka.
"BN dan PN mungkin mahu PRU16 dipercepatkan, manakala PH mempunyai kepentingan politik untuk melanjutkan tempoh pentadbiran bagi memulihkan sokongan rakyat," katanya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tunduk kepada tekanan berkenaan selagi masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
"Saya jangkakan PH lebih cenderung mengadakan PRU16 pada penghujung 2027 berbanding awal tahun tersebut bagi memberi ruang kepada gabungan itu melaksanakan proses pemulihan politik," katanya.