Kon Yeow nafi cabar BN-PN rampas Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau mencabar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk merampas negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH).

Beliau menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian, apatah lagi menggunakan perkataan ‘cabar’ atau ‘mencabar’ mana-mana parti atau gabungan politik seperti yang didakwa menerusi satu hantaran di laman sosial.

Sebaliknya, beliau menjelaskan ucapan yang disampaikan pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Tanjong pada 15 November lalu adalah seruan kepada PH supaya segera memperkukuh persediaan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan gabungan berkenaan terus mendapat sokongan rakyat, sekali gus mempertahankan tampuk pemerintahan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Penafian Kon Yeow itu dibuat dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Menerusi hantaran sama, Kon Yeow berkongsi ucapan penuh beliau berkenaan isu itu yang disampaikan pada majlis sambutan rumah terbuka berkenaan

Kon Yeow berkata, kenyataannya telah diputar belit menerusi tajuk ‘Chow Kon Yeow Cabar BN-PN Rampas Pulau Pinang Jika Mahu ‘Kuburkan’ DAP di Malaysia’ yang disifatkan tidak menggambarkan maksud sebenar ucapannya.

Beliau berkata, keputusan PRN Melaka baru-baru ini seharusnya menjadi bahan penilaian serius buat PH dan DAP dalam memastikan kedua-duanya kekal relevan serta terus mendapat kepercayaan rakyat.

“Susulan keputusan Pilihan Raya Negeri di Melaka baru-baru ini, kita harus mengkaji sedalam-dalamnya bagi memastikan kita dalam PH dan DAP masih relevan, masih mendapat sokongan serta dapat meneruskan perjuangan dalam arena politik Malaysia.

“DAP bukan parti baharu. Parti ini sudah berusia 60 tahun dan sepanjang tempoh itu kita mengalami pelbagai turun naik, namun tidak pernah berputus asa dalam perjuangan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan DAP akan terus memainkan peranan dalam landskap politik negara sama ada sebagai parti kerajaan mahupun pembangkang termasuk ketika berdepan situasi kekurangan sokongan rakyat.

Mengulas perkembangan politik semasa, Kon Yeow berkata, kerjasama antara BN khususnya UMNO dengan PN dalam beberapa PRN kebelakangan ini menunjukkan perkembangan yang tidak boleh dipandang ringan oleh PH.

"Kerjasama berkenaan yang membawa mesej perpaduan orang Melayu bagi memperkukuh kedudukan politik kelompok itu telah menunjukkan kesan terhadap keputusan pilihan raya," ujarnya.

Terdahulu, tular dalam media sosial kenyataan yang didakwa dibuat Kon Yeow yang mencabar BN-PN merampas Pulau Pinang jika mahu kuburkan DAP di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui situasi politik terkini menyaksikan parti yang bekerjasama di peringkat Persekutuan boleh bertukar menjadi lawan di peringkat negeri, sekali gus menjadikannya sebagai satu senario baharu dalam politik Malaysia walaupun perkara itu bukan sesuatu yang asing di negara Barat.

Justeru, katanya, keadaan itu perlu ditangani secara realistik dan tidak boleh dipandang mudah kerana rakyat juga mungkin keliru dengan kerjasama politik yang berbeza mengikut peringkat pemerintahan.

“Kalau mahu menjadi kawan, biarlah dari peringkat Persekutuan hingga negeri. Kalau mahu menjadi lawan, dari Persekutuan hingga negeri juga.

"Tidak perlu lagi bercampur-campur kerana rakyat sendiri tidak memahami keadaan politik yang berlaku ketika ini,” katanya.

Beliau menambah, kekuatan gelombang kerjasama BN-PN sudah dibuktikan menerusi keputusan pilihan raya dan perkembangan itu berpotensi memberi kesan kepada Pulau Pinang pada masa akan datang.

Menurutnya, pengaruh berkenaan berkemungkinan merebak ke seluruh negeri termasuk kawasan selatan seperti Nibong Tebal, utara di Kepala Batas, kawasan timur seperti Bukit Mertajam serta kawasan pulau.

"Sehubungan itu, PH perlu melihat keputusan PRN yang berlangsung sebelum ini sebagai satu perkembangan politik yang berpotensi menggugat kekuatan dan sokongan terhadap kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, PH tidak akan memandang ringan cabaran berkenaan dan semua parti komponennya perlu mengambil langkah segera untuk memastikan kesiapsiagaan menghadapi PRU serta PRN akan datang," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, parti-parti di pihak lawan dijangka berusaha sedaya upaya meraih sokongan pengundi Melayu dan Islam dalam pilihan raya akan datang.

Beliau turut menyentuh kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika kempen PRN Melaka yang didakwa mengguris perasaan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.

Katanya, kenyataan yang membandingkan pemerintahan orang Islam dengan bukan Islam menggunakan ungkapan yang membawa maksud orang Islam tidak sejahat atau seburuk pihak bukan Islam itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Saya rasa ini satu kenyataan yang tidak langsung boleh kita terima. Walaupun Chow Kon Yeow selalu mempunyai imej sederhana, kenyataan sedemikian saya rasa tiada siapa pun dapat menerimanya kerana ia seolah-olah menganggap kita zalim, jahat dan buruk.

“Saya berharap walaupun Pas cuba mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan perkara itu, kita tidak dapat menerimanya selagi Abdul Hadi tidak memohon maaf,” katanya.

Mengulas persediaan PH di Pulau Pinang, Kon Yeow meminta semua parti komponen supaya menggunakan tempoh belasan bulan yang masih berbaki untuk memperkukuh jentera, meningkatkan semangat perjuangan dan memperkemas gerak kerja bagi memastikan kerajaan negeri terus mendapat mandat rakyat.

Katanya, kerajaan negeri akan terus melaksanakan tanggungjawab serta kewajipan dengan memastikan setiap dasar dan usaha yang dilaksanakan memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau lokasi.

"Sokongan padu semua pengundi, sama ada di kawasan pulau mahu pun Seberang Perai, amat penting bagi memastikan PH dapat mengekalkan pentadbiran negeri.

“Untuk memastikan kita dapat mengekalkan sokongan ini, kita perlu mula bekerja dengan lebih keras supaya rakyat dapat merasai dan menikmati kebaikan kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang,” katanya.